Buletin

HONDAJET LAKU KERAS, HONDA UNGGUL DI UDARA, DARAT & AIR

Di negara kita jenama Honda lebih dikenali sebagai pengeluar kereta penumpang dan motosikal. Jenama Honda juga sering dikaitkan dengan prestij dan pencapaian hidup seseorang.

Di luar sana, Honda tampil dengan pelbagai produk kejuruteraan. Daripada penjana (generator), enjin bot, ATV sehinggalah tinggi di udara iaitu jet penumpang ringan.

Honda mempunyai produk di darat, udara dan air walaupun ia bukan syarikat pengeluar kereta nombor satu dunia. Di sinilah kehebatan Honda sebagai syarikat kejuruteraan.

Syarikat yang menguruskan perniagaan jet dikenali sebagai Honda Aircraft Company dan baru sahaja mengumumkan satu berita gembira.

Jualan pesawat HondaJet mengungguli segmen pesawat penumpang ringan untuk setengah tahun pertama 2019.

Dalam tempoh tersebut 17 buah pesawat berjaya dihantar kepada pelanggan di serata dunia berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh General Aviation Manufacturers Association (GAMA).

Ini bukan kali pertama kerana status itu dipegang lebih daripada dua tahun.

HondaJet sekarang ini berada di dalam fasa pengembangan melalui pembinaan pusat pengeluaran dengan saiz 83,000 kaki persegi untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran di ibu pejabatnya di Utara Carolina, Amerika Syarikat.

Selain itu, pesawat HondaJet Elite baru sahaja menerima type certification daripada Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada bulan ini.

HondaJet mula dijual pada Disember 2015 dan setakat ini lebih daripada 130 buah sudah dihantar kepada pelanggan di serata dunia.

Berikut ialah spesifikasi ringkas HondaJet:

  • Dikuasakan oleh dua enjin kipas turbo GE-Honda HF120
  • Tiga skrin sesentuh Garmin 3000 Avionics
  • Kru – Satu
  • Penumpang – Enam
  • Ukuran – 42 kaki 7 inci (panjang), 39 kaki 9 inci (sayap), 14 kaki 11 inci (tinggi)
  • Berat pelepasan maksimum – 4,854 kilogram
  • Kelajuan 782 km/j
  • Jarak 2,661 kilometer dengan empat penumpang
  • Service ceiling – 43,000 kaki
  • Harga – AS$5.28 juta (RM22.18 juta) (HondaJet Elite 2019)

BACA: HONDA CIVIC FN2. KISAH TYPE-R YANG TIDAK DIKENALI…

BACA: MEMANG BIJAK CARA HONDA HAPUSKAN “TORQUE STEER”

BACA: APA ISTIMEWANYA HONDA CIVIC FD2 TYPE-R?

Google ads
Back to top button