Artikel Pilihan

BMW M12/13 – ENJIN F1 PALING BERKUASA SEPANJANG ZAMAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah enjin yang memacu jentera Formula One (F1) yang juga merupakan enjin F1 paling berkuasa sepanjang zaman.

Untuk topik ini, kita imbas kembali penganjuran sukan F1 bermula pada tahun 1966 hingga 1985. Apa yang menarik adalah ketika waktu ini, undang-undang terhadap spesifikasi enjin tidak terlalu ketat. Butiran adalah seperti berikut.

1. Terpulang kepada pasukan sama ada mahu menggunakan enjin Naturally Aspirated (NA) atau Force Induction (Turbo/Supercharger)
2. Kapasiti enjin ditetapkan 3.0L untuk NA dan 1.5L bagi Turbo/Supercharger
3. Tiada had pusingan enjin. Nak buat enjin rev lebih 20,000rpm pun boleh.
4. Tiada had jumlah silinder. Dari 4 silinder hongga 12 silinder mahupun 16 silinder. Suka hati.
5. Tiada had untuk bahan bakar. Campur lah apa pun. Cuma Alcohol sahaja tidak dibenarkan.

Dengan kelonggaran yang diberikan ini, setiap pasukan diberikan kebebasan untuk mereka, memilih atau membuat enjin sekuat mana yang mereka mahukan.

Tapi tiada siapa yang sangka, enjin F1 paling berkuasa sepanjang zaman dinobatkan kepada enjin BMW M12/13 Turbo yang bersesaran 1,500cc dan hanya mempunyai 4 silinder. Bukan 6, bukan 8, bukan 12 dan bukan 16.

4 silinder Tuan-Tuan.

Enjin ini pertama kali dipakai pada jentera BT50 pada penganjuran F1 tahun 1982 oleh Brabham-BMW(Parmalat Racing Team). Jentera ini dipandu oleh Nelson Piquet dan Ricardo Patrese. Namun, pada tahun ini, ianya lebih kepada sesi percubaan kerana pasukan turut mempunyai jentera BT49C dan BT49D yang turut digunakan ketika perlumbaan. Kedua-dua jentera ini dikuasakan oleh enjin Ford Cosworth DFV 3.0L NA.

Ketika tahun ini, enjin Ford Cosworth DFV mendominasi perlumbaan dengan penggunaan meluas oleh pelbagai pasukan dan kemuncaknya Keke Rosberg iaitu pemandu Williams-Ford(TAG Williams Racing) dinobatkan sebagai juara kategori pemandu pada tahun ini dengan jentera FW08.

Kita pergi pada spesifikasi enjin ini. Enjin M12/13 turbo ini sebenarnya diambil daripada asas enjin M10. Dan mereka bukan ambil yang baru ye, mereka menggunakan blok enjin M10 terpakai yang sudah mencapai lingkungan 100,000km nilai perbatuan. Menurut BMW, penggunaan blok terpakai ini adalah untuk mengelakkan sebarang kecacatan produksi yang boleh terjadi pada blok enjin yang baru.

Menurut mereka lagi, jika ada kecacatan, mesti kita sudah dapat mengesannya ketika ini(merujuk kepada 100,000km penggunaan). Ada juga khabar angin mengatakan jurutera mereka juga kencing pada blok enjin ini. Hal ini kerana mereka percaya bahan yang terdapat dalam air kencing itu ada kesan “Nitriding” dan membuatkan permukaan blok ini menjadi lebih kuat. Hahahaha ! Tak tahu lah sihir apa mereka pakai ni. Syirik ! Anda jangan tiru pula ye.

Nilai Bore X Stroke enjin ini adalah 89.2mm x 60mm. Nilai ini menjadikan enjin ini “Oversquare” dimana enjin ini berkemampuan rev pada kelajuan tinggi. Kekurangannya cuma daya kilas yang dihasilkan adalah sedikit. Namun semua itu ditutup dengan kuasa turbo serta pusingan enjin yang tinggi sehingga 11,500rpm. Nisbah mampatan bagi enjin ini adalah 7.5:1.

Konfigurasi injap enjin ini adalah 4 injap bagi setiap silinder. Injap masukan bersaiz 35.8mm manakala injap ekzos bersaiz 30.2mm. Injap ini dipacu oleh 2 batang aci sesondol. Pacuan Aci Sesondol oleh Aci Engkol dibantu bukan Timing Belt, bukan juga Timing Chain. Namun Timing Gear. Tiada risiko putus di tengah jalan. Mudah.

Unit Turbo yang digunakan adalah dari jenis KKK di awal pembabitan dan kemudiannya bertukar ke Garrett. Turbo yang digunakan juga berlainan dan dibuat khusus untuk kegunaan perlumbaan. Setiap komponen dibuat menggunakan material bergred tinggi. Boost yang dihasilkan oleh turbo ini disejukkan oleh unit Intercooler daripada Behr.

Sistem pengurusan enjin diserahkan kepada Bosch Engine Management System dan ditala sendiri oleh pasukan yang bertanding. Talaan adalah berbeza bukan sahaja bagi setiap pasukan, malah ketika perlumbaan dan juga ujian masa.

Sebagai contoh, pada tahun 1983, jentera BT52 yang dipandu Nelson Piquet ditala dengan boost setinggi 3.2 bar yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 800hp ketika ujian masa. Ketika perlumbaan pula, boost diturunkan kepada 3 bar sahaja. Kuasa yang mampu dihamburkan pula adalah 740hp.

Hal ini kerana pusingan ketika perlumbaan adalah lebih banyak dan faktor ketahanan diambil kira. Jika menggunakan boost 3.2 bar, enjin M12/13 ini hanya mampu bertahan sehingga 4 pusingan sahaja. 4 silinder 1.5L 800hp. Kuat Tuan Tuan. Pada tahun 1983 ini juga lah Nelson Piquet menjadi juara dunia ye. Dan beliau merupakan pelumba pertama muncul juara dengan kereta berenjin turbo.

Apa ? 800hp tak cukup kuat ? Ada lagi Tuan Tuan. Pasukan Benetton-BMW(Benetton Formula Ltd) menala jentera mereka Benetton B186 yang dikuasakan oleh enjin BMW M12/13 ini sehingga mencecah 1,500hp(anggaran disebabkan ketika itu dyno hanya mampu membaca sehingga 1,280hp sahaja). 1.5L bersamaan 1,500hp. 1cc 1hp Tuan-Tuan. Tiada KERS, tiada bantuan lain. Hanya enjin dan unit turbo sahaja.

Boost ditala sehingga 5.5 bar. Dan macam biasa, talaan ini hanya untuk sesi ujian masa sahaja. Ketika perlumbaan sebenar kuasa dikurangkan kepada 850hp dengan talaan boost pada 3.6 bar.

Mereka menang tak pada waktu itu ? Tidak Tuan-Tuan. Musim 1986 dimenangi oleh Alain Prost dengan jentera Mclaren MP4/2C dikuasakan oleh enjin TAG/Porsche TTE PO1 1.5L V6 Turbo.

Bukan apa, di dalam perlumbaan, kehebatan joki dengan jentera kena seiring. Kereta laju joki tak laju pun kelaut juga. Lagi satu, kalau nak cerita kehebatan mereka, mereka tukar gear pakai tuil gear manual. Bukan “paddle shift” di stering. Mana nak tekan klac, tak tukar gear, nak layan selekoh, nak tekan brek, belum cerita kalau hujan. Sebab itu mereka-mereka ni lagenda.

Inilah dia Tuan-Tuan, BMW M12/13. Enjin F1 paling berkuasa sepanjang zaman. Hatta enjin generasi terbaru pun belum mampu menandingi kuasa kuda enjin ini untuk bersaing di peringkat tertinggi. Saya sendiri terkesima. Enjin 4 silinder 1.5L ditala sehingga 1,500hp. Lagi terkejut BMW pula tu yang buat. Oh indahnya dulu-dulu.

Enjin 1.5L korang berapa HP ? Tanya je.

Google ads
Back to top button