Buletin

TOYOTA TJ CRUISER – GABUNGAN VAN/SUV PELIK INI AKAN DIPRODUKSI

Media di Jepun melaporkan bahawa Toyota TJ Cruiser yang pernah dipamerkan di Tokyo Motor Show 2017 bakal diproduksi tidak lama lagi. 

Jentera konsep TJ yang merupakan gabungan rekaan di antara van dan SUV itu hadir bersama tempat duduk yang boleh dilipat rata serta ruang kargo luas dan tahan lasak. 

Media Best Car menyatakan pengedar, Toru Endo mendakwa versi produksi TJ Cruiser akan didedahkan pada acara Tokyo Motor Show 2019 Oktober depan dengan pra-tempahannya mula diterima pada Disember. 

Jentera itu didakwa akan menggunakan sistem pacuan semua roda, bersama pilihan rangkaian kuasa hibrid dan petrol. Ia dibina di atas platform TNGA yang menjadi asas kepada kebanyakan kenderaan moden Toyota pada hari ini. 

Van itu boleh menempatkan lima atau tujuh tempat duduk. Namun, versi produksinya dijangka lebih kecil dengan dimensi hanya sepanjang 4,300mm dan tapak roda 2,750mm. 

Seperti namanya, TJ Cruiser mungkin bakal dipasarkan sebagai pengganti model FJ Cruiser, sebuah SUV rugged yang disasarkan kepada golongan muda. Bagi menjadikannya lebih praktikal, jentera itu dilengkapi pintu gelongsor dan tempat duduk boleh dilipat rata. 

Ini bagi memudahkan pengguna mengangkut barang yang panjang sehingga tiga meter. Dengan keupayaan ini, TJ Cruiser seakan-akan boleh menyamai fleksibiliti model pesaing yang lebih besar iaitu Mitsubishi Delica. 

Biarpun model ini kelihatan cukup menarik, Toyota hanya mampu menghasilkan sekitar 1,500 unit TJ Cruiser sebulan berikutan keupayaann produksi yang terhad. 

Google ads
Back to top button