Buletin

HONDA CIVIC GEN-11 DIPERKENALKAN. 2 PILIHAN ENJIN, REKAAN LEBIH SELAMAT

Honda akhirnya mendedahkan model Civic sedan serba baharu di pasaran Amerika Syarikat. Dengan pelbagai penambahbaikan dari segi rekaan dan teknologi, Civic dilihat mampu untuk terus menjadi antara model terlaris Honda di pasaran tersebut. 

Seperti foto yang pernah dikongsikan sebelum ini, Civic generasi ke-11 kini tampil dengan rekaan yang lebih elegan. Honda juga kembali kepada falsafah reka bentuk yang menjadikan Civic pada tahun 1970-an sangat berjaya iaitu Man Maximum/Machine Minimum. 

Reka bentuk

Falsafah rekaan itu membuatkan penampilan Civic kelihatan lebih ringkas dan ringan, pada masa yang sama membuatkannya semakin premium. Jadi, pasukan pereka bentuk Honda mengalihkan tiang A seikit ke belakang sebanyak dua inci. 

Ini menjadikan hudnya kelihatan lebih panjang dan memberikannya perkadaran yang klasik. Mereka juha memastikan garis badan sedan itu lebih ringkas dan mengalir dengan lancar dari hadapan hingga ke lampu belakang. 

Civic juga mempunyai trek belakang lebih lebar. Ia jelas menerusi lampu belakang yang lebar. Reka bentuk bamapar dan spoiler pula membuatkannya lebih sporty dan aerodinamik. Honda menyerlahkan lagi rekaan baharu itu apabila menawarkan lapan warna termasuklah tiga warna baharu iaitu kelabu metalik, kelabu mutiara dan biru metalik. 

Ruang kabin

Pembaharuan dari segi rekaan semakin ketara apabila melangkah masuk ke dalam ruang kabin Civic. Jentera itu kini dilengkapi panel instrumen digital bersaiz 10.2 inci dan skrin infohibur sebesar 7 inci sebagai standard. Walaupun tidaklah yang paling besar dalam kelasnya, namun ia nyata lebih besar berbanding model terdahulu. 

Pelanggan boleh memilih skrin infohibur bersaiz 9 inci yang lebih besar. Lebih menarik lagi, ia didatangkan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta pengecasan tanpa wayat bagi varian Touring. 

Berbeza dengan kereta moden lain yang memerlukan semua kawalan fungsi dibuat menerusi skrin sentuh, Civic bagaimanapun masih mengekalkan butang kawalan untuk pendingin hawa dan sistem audio. Buat pertama kalinya, sedan itu dipasang dengan sistem bunyi Bose bersama 12 unit pembesar suara.

 Sekali pandang, susun atur papan pemuka Civic memang minimalis. Rekaannya juga nampak mewah dengan kemasan honeycomb yang merentasi papan pemuka, sekali gus menyembunyikan corong pendingin hawa. 

Bukan itu sahaja, posisi tempat duduk memastikan pemandu mempunyai pandangan jalan yang lebih jelas dan kurang refleksi pada cermin hadapan. Smentara cermin sisi diposisikan sedikit jauh daripada tiang A bagi mengurangkan titik buta.  

Tipikal sebuah Honda, material dalaman dipilih agar lebih praktikal. Contohnya, material pada konsol tengah tidak akan meninggalkan cap jari seperti yang biasa berlaku pada kemasan piano black. Pemandu dan penumpang juga boleh mengharapkan ruang kepala, kaki dan bahu yang lebih luas. 

Rangkaian kuasa 

Civic mengekalkan dua enjin sebelum ini iaitu enjin aspirasi biasa bersesaran 2.0 liter berkuasa 158hp dan tork 187Nm, serta enjin 1.5 liter turbo. Cuma, enjin turbo berkenaan menerima talaan baharu untuk menjana 180hp dan tork 240Nm, naik 6hp dan 20Nm berbanding enjin pada Civic FC. 

Transmisi CVT juga telah ditala semula untuk menawarkan pengalaman penukaran gear seperti kotak gear automatik konvensional. Malah, jika anda menekan brek, kotak gear CVT itu diprogram untuk turun ke gear rendah. 

Seperti yang dijangka, Civic akan dilengkapi sistem kelsematan Honda SENSING dengan unit kamera baharu untuk menawarkan tahap pandangan lebih luas. Sementara naik taraf perisian baharu sistem berkenaan membolehkan pengesanan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan lain dibuat dengan lebih pantas. 

Di Amerika, Civic yang dikilangkan di kilang Honda di Ontario Kanada akan mula dijual pada musim panas. Bagi pasaran Malaysia, dengar kata ia bakal dilancarkan pada tahun ini. Kita tunggu sahaja berita selanjutnya.

GALERI

Google ads
Back to top button