Buletin

HONDA HRV ‘PARKIR’ LEBIH SETAHUN DI AIRPORT BALI. CAJ CECAH RM14,644

Sebuah kenderaan jenis Honda HRV dilaporkan sudah tersadai lebih setahun di ruang parkir Terminal Ketibaan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti NGurah Rai, Bali, Indonesia.

Jurucakap lapangan terbang, Taufan Yudhistira berkata, berdasarkan tempoh tersebut, jumlah caj bayaran parkir yang perlu dijelaskan pemilik kenderaan adalah lebih 50 juta rupiah (RM14,644).

“Kereta terbabit memasuki tempat meletak kenderaan pada 29 November 2020 dan sehingga kini masih ada di situ.

“Sudah 15 bulan kenderaan tidak dialihkan dan kini sudah jadi seperti ‘besi buruk’,” katanya kepada Kompas.com

Taufan memaklumkan pihak lapangan terbang tidak mengetahui siapa pemilik kenderaan tersebut biarpun sudah banyak kali mencari maklumat mengenainya.

Katanya, mereka sudah menghubungi pihak polis untuk membantu mencari pemilik kenderaan berkenaan.

“Sehingga kini, tiada mana-mana pihak tampil untuk mengambil atau mengalihkan kenderaan tersebut. Sudah terlalu lama kereta itu tersadai.

“Kami bimbang sekiranya ada berlaku kecurian melibatkan bahagian kereta tersebut oleh pihak tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Taufan berkata, insiden seperti itu sudah beberapa kali berlaku, menyebabkan tempat meletak kenderaan menjadi terhad kepada pengguna.

“Jangan jadikan kawasan parkir ini untuk ‘membuang atau menyembunyikan’ kenderaan anda kerana perbuatan itu hanya menyebabkan jumlah parkir jadi terhad dan menyusahkan pengguna lain.

“Tolong jadi pengguna yang berhemah dan jangan pentingkan diri,” tegasnya. – UTUSAN

Google ads
"
"
Back to top button