
JIKA MANUSIA SANGAT CEKAP MEMANDU, KENAPA ADAS WUJUD?
ADAS merupakan singkatan kepada Advanced Driver Assistance System yang biasanya merangkumi beberapa sistem keselamatan yang dipakejkan. Biasanya ia menawarkan amaran pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran, sistem amaran terkeluar dari lorong memandu (LDW) dan berupaya menghalang kereta daripada terkeluar daripada lorong memandu.
Sesetengah sistem juga berupaya membantu pemandu melaksanakan beberapa tugas tambahan seperti menghidupkan lampu tinggi dan mematikan ya jika ia mengesan kehadiran kenderaan lain serta membantu mengawal kenderaan dengan tahap pemanduan autonomi level 2. Malah jika anda rujuk kepada misi dan visi ASEAN NCAP, anda akan perasan mereka menetapkan 2 kriteria sistem keselamatan pintar dalam ujian kemalangan kenderaan baru
Selain daripada perlindungan penumpang dewasa (AOP, 40%) dan perlindungan kanak-kanak (COP, 20% ), ASEAN NCAP meletakkan 2 kriteria utama dalam ujian kemalangan iaitu Safety Assist ((teknologi bantuan keselamatan, 20%) dan Motorcyclist Safety (20%) bagi ujian kemalangan tahun 2021-2025. Jika kereta anda tidak memiliki Safety Assist dan Motorcyclist Safety, maka peluang untuk kereta baru mendapat skor 5 bintang adalah rendah

Tidak dinafikan memiliki kerangka badan yang keras dan mampu menyerap impak kemalangan adalah satu ciri yang sangat bagus, kalau kemalangan berlaku. Secara asasnya pada pandangan penulis ASEAN NCAP menitikberatkan agar kemalangan dapat dielakkan sepenuhnya. Jika kita dapat mengelakkan kemalangan, ia adalah jauh lebih baik.
Sebagai contoh dalam kriteria Safety Assist, sesebuah kereta akan mendapat markah yang tinggi sekiranya sesebuah kereta dilengkapi dengan pelbagai teknologi yang mengurangkan kebarangkalian berlakunya kemalangan. Antaranya ialah:
1. Sistem brek ABS dan sistem kawalan kestabilan elektronik ESC
2. Sistem peringatan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar
3. Sistem amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran yang boleh mengesan kereta dan pejalan kaki
4. Sistem amaran termaju seperti Lane Depature Watch, Lane Departure Prevention dan Driver Attention Alert

Bagi mendapat skor yang tinggi dalam Motorcyclist Safety, sesebuah kereta mesti dilengkapi dengan sistem amaran titik buta, Advanced Rear View, Auto High Beam (menerangkan kenapa Myvi pun ada ciri ini), perlindungan pejalan kaki serta sistem brek pra-perlanggaran yang boleh mengesan dan membrek jika motosikal berada di laluan kereta.
Jika anda perasan, beberapa ciri keselamatan termaju ini sebenarnya adalah sebahagian daripada ciri ADAS, disokong dengan sistem sensor, kamera dengan teknologi kepintaran buatan termaju serta sistem elektronik yang mampu membuat keputusan tepat dalam masa beberapa milisaat sahaja. Sedangkan manusia akan mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan dalam situasi kecemasan
Manusia boleh membuat keputusan pantas dalam situasi yang sama sekiranya mereka telah bersedia, berlatih dan tidak diganggu ketika membuat keputusan. Malangnya manusia juga memiliki emosi yang akan mengganggu kita membuat keputusan segera. Bayangkan ketika memandu, anak di belakang tengah bergaduh dan pada masa yang sama sebuah motosikal masuk ke laluan kita dengan laju

Kita mungkin akan tergamam seketika sebelum menekan brek kecemasan, menyebabkan kita terlambat dan mungkin melanggar motosikal tersebut. Emosi yang menjadikan kita manusia boleh menjadi punca kemalangan disebut juga sebagai human factor. Sekiranya sistem ADAS ada pada kenderaan, ia akan mengambil keputusan segera dan membrek bagi mengelakkan kemalangan dan sistem ini tiada emosi
Sistem ADAS membuang faktor emosi dan membuat keputusan dengan segera bagi menyelamatkan nyawa. Dalam aspek ini, sistem ADAS boleh bertindak dengan pantas, lebih pantas daripada reaksi motor respon manusia. Sebagai contoh, sistem brek perlanggaran akan membrek serta mengaktifkan sistem brek ABS yang berupaya membrek 50 kali dalam sesaat. Satu perkara yang tidak mampu ditiru oleh manusia
Jadi tidak hairanlah sistem ADAS ini sangat penting dalam evolusi keselamatan jalan raya, ia menghalang daripada kemalangan berlaku dan mengurangkan kebarangkalian berlakunya kemalangan.



