
HONDA MALAYSIA UMUM DUA PEMENANG BERTUAH KEMPEN ULANG TAHUN KE-25 “BECAUSE OF YOU”
Honda Malaysia terus meraikan pelanggan setia sempena sambutan ulang tahun ke-25 apabila mengumumkan dua penerima awal hadiah utama dalam kempen “Because of You”.
Kedua-dua pemenang membawa pulang sebuah City Hatchback RS dan sebuah WR-V RS pada satu majlis penghargaan khas yang diadakan hari ini.
Pemenang City Hatchback RS, Encik Chin dari Perak, menyertai peraduan tersebut selepas membeli Civic RS dalam warna Platinum White Pearl.

Menurutnya, memiliki sebuah Civic memang sudah lama menjadi impian kerana tertarik dengan reka bentuknya yang menawan serta prestasi yang konsisten dengan DNA Civic.
“Dapat memandu pulang Civic pun sudah cukup menggembirakan. Apabila dimaklumkan saya turut memenangi City Hatchback RS, saya benar-benar tidak percaya.
“Saya ingatkan panggilan scam! Kini saya tak sabar untuk menikmati pengalaman berbeza dengan dua model Honda ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemenang bertuah, Cik Ou, yang memilih CR-V sebagai kenderaan keluarga — tidak dapat hadir ke majlis penyampaian.

Hadiah tersebut, sebuah WR-V RS, diterima bagi pihaknya oleh suaminya, Encik Liew Jeng Siong, yang sanggup terbang dari Sarawak untuk menuntut hadiah tersebut.
Menurut Cik Ou, CR-V menjadi pilihan kerana menawarkan ruang luas, keselesaan dan reka bentuk elegan.
“Saya memang yakin CR-V sesuai untuk keluarga kami. Tidak sangka pula pembelian itu membawa rezeki tambahan. Kini saya memiliki dua SUV Honda yang masing-masing memenuhi keperluan kami,” ujarnya.
City Hatchback RS dan WR-V RS merupakan sebahagian daripada enam hadiah utama yang ditawarkan melalui kempen cabutan bertuah “Because of You”, diadakan sempena ulang tahun ke-25 Honda Malaysia sebagai penghargaan kepada para pelanggannya.






