Buletin

HONDA PASSPORT 2022. REKAAN AGRESIF, V6 NA 280HP, VARIAN TRAILSPORT

Honda baru-baru ini memperkenalkan SUV Passport 2022 ke pasaran Amerika Syarikat. Model facelift itu menerima penambahbaikan agar kelihatan lebih agresif. 

Antara perubahannya ialah hud, fender hadapan dan gril baharu. Honda juga telah mereka semula bampar hadapan dan memasang beberapa corong pengambilan udara yang mengalirkan udara ke arah roda hadapan untuk meningkatkan lagi aspek aerodinamiknya.

Bahagian belakang pula hadir dengan bampar yang garang bersama paip ekzos lebih besar. Tidak ketinggalan penutup tow hitch dan kemasan skid plate. Penampilan SUV berkenaan disempurnakan dengan rim bersaiz 18 dan 20 inci rekaan terkini. 

Apa yang lebih menarik pada Passport 2022 ialah pengenalan varian baharu trailsport. Pada awal tahun lalu, Honda mempatenkan nama itu dan Passport menjadi model pertama yang menggunakannya. Passport Trailsport didatangkan dengan trek depan belakang 10mm lebih panjang, rekaan gril yang unik, bampar hadapan belakang agresif dan kemasan skid berwarna perak. 

Jentera itu juga dilengkapi dim bersaiz 18 inci serta lencana Trailsport pada bahagian luar dan dalaman. Ruang kabin dibezakan dengan jahitan benang oren pada tempat duduk, stereng, panel pintu dan dan sulaman logo Trailsport pada penyandar kepala. 

Honda memberitahu Passport Trailsport akan ditawarkan dengan beberapa naik taraf merangkumi tayar dan suspensi yang ditala untuk kegunaan off-road. Pelanggan juga boleh mendapatkan Pakej HPD yang merangkumi gril, fender hitam. rim sporty dan grafik HPD. 

Passport hanya dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa bersesaran 3.5 liter V6 berkuasa 280hp dan tork 355Nm. Kuasa itu disalurkan ke semua roda menerusi sistem pacuan semua rpoda torque-vectoring dan transmisi automatik sembilan kelajuan. 

Rangkaian sistem bantuan pemandu didatangkan sebagai ciri standard untuk semua varian. Ini termasuklah Collision Mitigation Braking System dengan Forward Collision Warning, Lane Keeping Assist, Road Departure Mitigation dengan Lane Departure Warning dan Adaptive Cruise Control. 

Bakal tiba di pengedar hujung tahun ini, harganya bagaimanapun belum didedahkan. 

GALERI

Google ads
Back to top button