MONOPOLI MELAMPAU CHEVROLET DI UZBEKISTAN. HARGA MAHAL, RAKYAT TIADA PILIHAN
Di Uzbekistan, anda boleh membeli apa juga kereta selagi ia sebuah Chevrolet. Sehingga sekarang, jalan-jalan utama di Tashkent dipenuhi oleh model-model Chevrolet seperti Nexia, Malibu, Tracker, Cobalt dan Spark. Kadangkala, muncul model lama Lada, jenama kenderaan dari Rusia.
Uzbekistan mendapat kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Setahun kemudian, sebuah kilang terbesar di Asia Tengah dibina oleh kerajaan Uzbekistan dan Daewoo.
Kilang bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion) itu mengeluarkan model pertamanya pada tahun 1996. Daewoo dibeli oleh General Motors, kilang itu kemudian dinamakan sebagai GM pada tahun 2008 dan mula menghasilkan kereta-kereta Chevrolet.
Tiga tahun selepas itu, 94 peratus kenderaan yang dijual di Uzbekistan ialah Chevrolet. Sekali gus menjadikannya pasaran yang paling dimonopoli oleh Chevrolet di dunia.
Situasi itu tidak terjadi secara semula jadi. Tetapi, ia berlaku kerana pasaran GM dilindungi oleh kerajaan. Kereta terpakai jenama lain dikenakan tarif import yang sangat tinggi.
Walaupun tarif itu bergantung kepada saiz enjin, tahun buatan dan usia kereta, cukai kastam membuatkan harganya lebih dua kali ganda berbanding nilai kereta itu sendiri.
“Siapa yang mendapat manfaat daripada eksperimen ini? Sejumlah kecil birokrat dalam kerajaan dan pengurus syarikat yang terus mendapat habuan mereka setiap tahun.
“Pengguna tiada pilihan selain terpaksa membayar harga kereta yang mahal,” kata ahli ekonomi Uzbekistan yang lantang menentang monopoli, Yuliy Yusopov.
Tanpa jenama kereta lain untuk bersaing, harga kenderaan Chevrolet dilihat terus naik. Di antara tahun 2012 dan 2013, harga Chevrolet Nexia naik lebih 24 peratus. Pada ketika itu, media melaporkan harga Nexia hampir AS$17,000 (RM71,200) seunit, cukup mahal untuk populasi yang gaji puratanya hanya sekitar AS$200 (RM840) sebulan.
Pengiraan yang dibuat pada tahun 2014 menunjukkan nilai kereta yang sama jatuh apabila dieksport. Sebagai contoh, kereta berharga $14,000 (RM58,650) di Uzbekistan hanya bernilai kurang $8,000 (RM33,500) apabila dieksport ke Belarus.
Biarpun begitu, rakyat Uzbek masih memerlukan kereta dan mereka hanya boleh membeli Chevrolet. Tahun 2012 menyaksikan lebih 225,000 unit Chevrolet dihasilkan, tetapi hanya separuh dijual kepada rakyat Uzbek yang mempunyai populasi seramai 30 juta.
Tempoh menunggu untuk membeli kereta juga lama iaitu lebih setahun. Melainkan pembeli membayar rasuah atau ‘shapka’ sehingga AS$2,000 (RM8,400) kepada pengedar.
Beberapa kali setahun, pengguna berpeluang membeli kereta tanpa shapka. Pengedar yang menerima kereta dalam jumlah banyak membuka pintu mereka kepada semua. Akibatnya, ramai yang bergaduh semata-mata untuk membeli kereta.
Namun begitu, banyak yang sudah berubah tahun 2013. Presiden baharu, Shavkat Mirziyoyev yang mengambil kuasa pada 2016 selepas kematian pemerintah authoritarian Karimov, telah memulakan proses liberalisasi besar-besaran dikenali sebagai “The Uzbek Thaw.”
Pada Disember 2018, GM menjual semua sahamnya dalam kilang tempatan kepada kerajaan Uzbek. Namun, monopoli kenderaan masih berlaku. Kilang tersebut tetap menggunakan jenama dan teknologi Chevrolet melalui satu perjanjian khas.
Tahun lalu, akhbar Kun.uz menerbitkan keputusan satu kaji selidik “Siapakah monopoli paling kejam di Uzbekistan?” 60 peratus responden menjawab General Motors. Namun, sudah ada petanda bahawa cengkaman Chevrolet ke atas rantau itu mungkin tidak kekal lama.
“Kilang kereta itu tidak membantu kami. Ia sepatutnya menawarkan 10,000 pekerja, jika tidak, kami tidak memerlukannya,” kata Mirziyoyev.
Sejak sekian lama, pengguna tidak gembira dengan monopoli Chevrolet. Kini, presidennya juga rasa perkara yang sama. Tetapi, dalam negara Asia Tengah yang bersifat authoritarian, ia mungkin membawa perubahan pada masa depannya. – OZY