Buletin

HONDA CBR150R RASMI DILANCARKAN. 2 PILIHAN WARNA, BERMULA RM12,499

Boon Siew Honda sebentar tadi melancarkan Honda CBR150R baharu ke pasaran tempatan. Jentera sports itu tampil dengan reka bentuk agresif seperti sebuah motosikal berkuasa tinggi. 

Direka dengan konsep siri CBR Total Control, CBR150R kini lebih ringan dan berteknologi tinggi. Dari segi penampilan, jentera tersebut diserlahkan dengan sepasang lampu utama LED yang nipis. Sekali pandang, ia memang mengambil inspirasi rekaan CBR250RR. 

CBR150R dikuasakan oleh enjin DOHC bersesaran 150cc yang mampu menjana 16hp dan tork 13.7Nm pada 7,000rpm. Kuasa daripada enjin dengan sistem penyejukan cecair itu kemudian disalurkan ke kotak gear enam kelajuan. 

Pengendalian mantap disumbang oleh sistem suspensi hadapan jenis USD. Sementara roda belakang menggunakan khidmat lengan ayun monoshoc Pro-Link. Ia juga dipasang dengan rim bersaiz 17 inci depan belakang. 

Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi sistem brek ABS dua saluran untuk berhenti dengan lebih yakin. Ciri isyarat berhenti kecemasan (ESS) berfungsi mengaktifkan lampu hazard secara automatik apabila brek ditarik 

Manakala ciri clutch assist dan slipper menawarkan pengalaman tunggangan yang lebih mengujakan. CBR150R didatangkan dengan kapasiti tangki 12 liter. Segala maklumat tunggangan dipaparkan di speedometer digital sepenuhnya. 

CBR150R hadir dalam dua pilihan warna iaitu kelabu metalik dan merah. Jika berminat, ia boleh anda miliki pada harga RM12,499 seunit. 

GALERI

Google ads
Back to top button