
HONDA MALAYSIA TAWAR JAMINAN BATERI HIBRID SEHINGGA 10 TAHUN
Honda Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam teknologi hibrid apabila memperkenalkan jaminan bateri hibrid sehingga 10 tahun tanpa had perbatuan bagi model e:HEV.
Inisiatif itu diumumkan menerusi kempen “Hybrid Done Right” yang berlangsung dari 1 April hingga 30 Jun 2026, bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ketahanan serta prestasi sebenar teknologi hibrid Honda.
Bermula 1 Mei 2026, semua pembelian baharu model e:HEV akan menikmati perlindungan lanjutan tersebut, termasuk komponen terpilih sistem hibrid.

Antara model yang terlibat ialah;
- Honda City e:HEV
- Honda City Hatchback e:HEV
- Honda HR-V e:HEV
- Honda Civic e:HEV
- Honda CR-V e:HEV
Dalam masa sama, pemilik sedia ada model e:HEV dan generasi terdahulu i-DCD seperti Jazz, City dan HR-V turut menerima manfaat apabila tempoh jaminan bateri ditingkatkan daripada lapan kepada 10 tahun, juga tanpa had perbatuan.
Komponen hibrid tertentu pula kini dilindungi sehingga 10 tahun berbanding lima tahun sebelum ini.
Lebih menarik, jaminan ini turut dipanjangkan kepada pemilik kenderaan terpakai.
Ini bermakna pemilik kedua dan seterusnya masih layak menikmati perlindungan tersebut, selagi dalam tempoh 10 tahun yang ditetapkan.
Langkah ini mencerminkan keyakinan Honda terhadap ketahanan teknologi e:HEV, di samping menawarkan nilai pemilikan jangka panjang yang lebih meyakinkan kepada pengguna.
Ia turut disokong rangkaian perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara, ketersediaan alat ganti serta pengalaman pemilikan yang terbukti kukuh dalam segmen hibrid.







