
PEMILIK HONDA e:HEV KONGSI PENGALAMAN, DARI PENJIMATAN MINYAK HINGGA KESELESAAN KELUARGA
Sempena sambutan Hari Malaysia, Honda Malaysia mengetengahkan pengalaman sebenar pemilik kenderaan hibrid e:HEV yang menggunakan teknologi tersebut dalam kehidupan seharian, sama ada untuk perjalanan ke tempat kerja, pemanduan jarak jauh mahupun aktiviti bersama keluarga.
Melalui perkongsian beberapa pemilik model Honda City e:HEV, Civic e:HEV RS dan CR-V e:HEV RS, syarikat itu menonjolkan bagaimana teknologi hibrid mampu menawarkan gabungan kecekapan bahan api, prestasi responsif serta keselesaan tanpa mengubah rutin pemanduan pengguna.
Bagi Shangkari Kumaran, pemilik Honda City e:HEV, penggunaan model hibrid itu membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan untuk bahan api.
Jika sebelum ini beliau membelanjakan lebih RM200 sebulan untuk petrol, jumlah tersebut kini berkurangan kepada sekitar RM150.

Menurutnya, selain penjimatan kos, pengalaman pemanduan yang lebih senyap dan stabil turut menjadikan perjalanan jarak jauh lebih selesa.
Beliau turut menghargai fungsi Honda CONNECT yang membolehkannya memantau lokasi kenderaan secara langsung menerusi aplikasi mudah alih. Ciri itu memberikan ketenangan fikiran, terutama ketika meletakkan kenderaan di kawasan yang sesak.
Sementara itu, Mohamad Sabri Hassan yang memandu Civic e:HEV RS berkata model berkenaan membolehkannya menempuh jarak lebih jauh dengan satu tangki bahan api berbanding kenderaan yang pernah dimilikinya sebelum ini.
Berdasarkan pengalaman beliau, Civic e:HEV RS mampu mencapai jarak perjalanan antara 720 hingga 800 kilometer bagi setiap isian penuh, sekali gus memberikan kelebihan ketika melakukan perjalanan jarak jauh.
Beliau berkata, gabungan prestasi pecutan yang lancar dan responsif bersama tahap kebisingan kabin yang rendah menjadikan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan.
Selain itu, ciri bantuan pemandu Honda SENSING serta paparan meter digital turut menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan dan keselesaan ketika memandu di lebuh raya.

Bagi Lionel Soon Pow Yik pula, CR-V e:HEV RS memenuhi keperluan keluarganya yang memerlukan ruang kabin luas tanpa mengorbankan kecekapan penggunaan bahan api.
Menurutnya, model SUV itu menawarkan keseimbangan antara prestasi, ekonomi dan praktikaliti, terutama untuk perjalanan bersama ahli keluarga.
Ruang kabin yang luas membolehkan anak perempuannya membawa rakan-rakan serta lebih banyak barangan ketika keluar bersiar-siar, manakala kuasa dan tork yang mencukupi memudahkan pemanduan di lebuh raya.
Beliau turut berkongsi pengalaman menarik apabila mengadakan cabaran jarak perjalanan bersama isterinya bagi melihat siapa yang mampu mencapai penggunaan bahan api paling efisien menggunakan CR-V e:HEV RS.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, maklum balas yang diterima daripada pelanggan membuktikan teknologi e:HEV bukan sahaja membantu menjimatkan bahan api, malah masih mengekalkan karakter pemanduan yang menyeronokkan.
Menurut beliau, setiap pengguna mempunyai keperluan berbeza, sama ada untuk penjimatan harian, prestasi lebih responsif atau ruang yang lebih praktikal untuk keluarga, dan teknologi hibrid Honda direka untuk memenuhi keperluan tersebut.
Beliau berkata, sempena Hari Malaysia, Honda ingin meraikan kisah di sebalik setiap perjalanan yang menghubungkan pengguna dengan keluarga, rakan serta pengalaman bermakna dalam kehidupan seharian.
Sebagai tambahan kepada pengalaman pemilikan yang lebih meyakinkan, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan bagi model e:HEV, sekali gus memperkukuhkan keyakinan terhadap ketahanan dan kebolehpercayaan teknologi hibrid syarikat itu.
Honda Malaysia berkata pihaknya akan terus memperkenalkan penyelesaian mobiliti yang inovatif bagi memberikan nilai tambah serta pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan kepada pelanggan pada masa hadapan.







