Buletin

CHERY JALIN KERJASAMA DENGAN PROJEK BELIA MAHIR – SEDIA PELUANG PEKERJAAN UNTUK BELIA MALAYSIA

Chery Corporate Malaysia hari ini mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Projek Belia Mahir, sebuah platform yang digerakkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran.

MoU ini telah diterima oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara semasa Majlis Pelepasan Peserta Program Inisiatif Institut Malaysia-China (MCI).

Kerjasama ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan bagi pekerja mahir, menawarkan peralihan lebih lancar dari tamat pengajian hingga memasuki alam pekerjaan dalam industri automotif.

Inisiatif ini bukan sahaja menjamin laluan kerjaya yang lebih terancang bagi graduan, tetapi juga memperkasakan mereka untuk mengaplikasi dan meningkatkan kemahiran dalam sektor automotif Malaysia.

Projek Belia Mahir membantu golongan belia yang tidak bekerja, tidak dalam pendidikan atau latihan (NEET) untuk mendapatkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran dengan kolaborasi institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kemahiran.

Selain itu, projek ini juga membantu penempatan pekerjaan dalam pelbagai sektor industri.

“Dengan adanya kilang pemasangan kenderaan Chery di Shah Alam, Selangor yang baru dilancarkan pada bulan Jun, kami berhasrat untuk membina tenaga kerja profesional berkemahiran tinggi,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Encik Leo Chen.

Selepas menamatkan program latihan dan pendidikan, graduan yang disyorkan oleh Projek Belia Mahir akan diberi peluang untuk bekerja bersama Chery.

Graduan terpilih berpeluang menyumbang kepada jenama pengeksport kenderaan terbesar China dan memperoleh pengalaman tidak ternilai dalam industri automotif.

Graduan yang layak juga akan menerima pendapatan minimum bulanan sebanyak RM2,000, termasuk faedah kakitangan yang komprehensif.

“Dengan memperkasakan bakat tempatan dan memupuk kerjasama, kami bukan sahaja menyokong matlamat peralihan industri tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan serta pembangunan industri automotif di negara ini,” tambah Encik Leo Chen.

Google ads
Back to top button