Buletin

DBKL GIAT TUNDA KENDERAAN BURUK TERSADAI DI KAWASAN AWAM

Isu kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai di lokasi-lokasi awam semakin meruncing dan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan warga kota.

Sikap segelintir pemilik kenderaan yang membiarkan kenderaan lama mereka terbiar di kawasan awam menimbulkan pelbagai masalah lain seperti kekurangan petak parkir, halangan lalu lintas, serta menjadi tempat pembiakan makhluk perosak.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempergiatkan usaha menunda kenderaan-kenderaan buruk yang dibiarkan tersadai ini ke depoh kenderaan buruk di Salak Selatan, Taman Connaught, dan Pantai Sentral selepas tempoh notis diletakkan di kenderaan tersebut tamat.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, langkah ini diambil bagi memastikan kawasan awam tidak terjejas dengan kenderaan buruk yang tidak diurus dengan baik.

Oleh itu, nasihat kepada para pemilik kenderaan usang adalah untuk mengambil inisiatif menyelesaikan masalah kenderaan mereka.

Jika ada modal, boleh baik pulih kenderaan tersebut atau dilerai dan dijual sebagai alat ganti. Malah, ada juga pemilik kenderaan yang kreatif menjadikan kenderaan usang mereka sebagai hasil seni.

Apa yang penting adalah sikap bertanggungjawab terhadap kenderaan usang masing-masing.

Namun begitu, apabila DBKL mula menunda kenderaan buruk, ada segelintir pemilik yang datang marah-marah dengan alasan mereka masih mahukan kenderaan tersebut.

Tetapi, kenderaan itu telah dibiarkan tersadai berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun.

Kesimpulannya, pemilik kenderaan usang perlu bertindak segera dan bijak dalam menguruskan kenderaan mereka.

Jangan biarkan kenderaan buruk terus mencemarkan pemandangan dan menimbulkan masalah kepada orang lain. Ambillah langkah proaktif untuk menyelesaikan isu ini demi kebaikan bersama. – DBKL

Google ads
Back to top button