Buletin

HONDA CITY FACELIFT VARIAN E GUNA BREK DRAM DI BELAKANG, HONDA MALAYSIA BERI PENJELASAN

Honda Malaysia tampil memberikan penjelasan berhubung spesifikasi sistem brek belakang bagi Honda City facelift, khususnya varian E yang menggunakan brek dram dan bukannya brek cakera seperti yang difahami berdasarkan bahan maklumat terdahulu.

Menurut syarikat itu, percanggahan berkenaan telah dikenal pasti selepas seorang pelanggan membangkitkan isu tersebut.

Menurut kenyataan rasmi, Honda Malaysia telah menghubungi pelanggan terbabit bagi menyelesaikan perkara itu secara baik.

Semakan di laman web rasmi Honda Malaysia mendapati brosur Honda City telah dikemas kini dengan maklumat sistem brek yang tepat.

Varian E menggunakan brek dram di bahagian belakang, manakala varian V, RS dan RS e:HEV dilengkapi brek cakera padu (Solid Disc) pada roda belakang.

Bagi bahagian hadapan pula, semua varian Honda City facelift menggunakan brek cakera berliang (Ventilated Disc).

Honda Malaysia menegaskan bahawa sistem brek dram pada varian E memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Syarikat itu turut mengambil langkah menarik balik bahan penerbitan terdahulu untuk digantikan dengan maklumat yang telah diperbetulkan menerusi rangkaian pengedar sah serta platform dalam talian.

Pembetulan tersebut bertujuan memastikan pelanggan menerima maklumat spesifikasi kenderaan yang tepat ketika membuat pertimbangan sebelum membeli model berkenaan.

Google ads
Back to top button