Motosikal

MARC MARQUEZ PELUMBA TERBAIK DI MOTOGP – FABIO QUARTARO

Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo menyatakan bahawa Marc Marquez merupakan pelumba terbaik dalam sejarah MotoGP berbanding Valentino Rossi. 

Quartararo merupakan antara yang berjaya melakar nama selaku juara dunia MotoGP selepas melakukannya pada musim 2021. Pelumba Perancis itu berjaya muncul juara dunia dalam musim pertamanya bersama pasukan kilang Yamaha menggantikan Rossi yang berpindah ke Petronas SRT. 

Rossi kemudiannya bersara pada penghujung musim namun masih terlibat dalam MotoGP sebagai pemilik pasukan VR46 yang bertanding selaku pasukan satelit Ducati ketika ini. 

Ketika temu bual terkini, Quartararo mendedahkan Rossi sebagai idolanya dan berkongsi bagaimana hubungannya bersama 7-kali juara dunia MotoGP itu terbentuk. 

“Idola saya semestinya Valentino. Kali pertama saya dapat bergambar dengannya adalah ketika berusia tujuh tahun. Kemudian ketika saya berumur 15 tahun, saya telah dijemput ke VR46 Motor Ranch. Kemudian pada 2021, kami bertukar tempat. 

“Ketika itu tekanan cukup tinggi kerana saya telah bertukar tempat dengan ‘king’. Walaupun terdapat ramai yang menjadi inspirasi saya selama ini namun sejak saya berusia lima tahun, Rossi adalah idola saya,” ujarnya. 

Bagaimanapun, Quartararo menyifatkan walaupun Rossi adalah idolanya, 6-kali juara dunia MotoGP, Marc Marquez mendahului senarai pelumba terbaik sepanjang zaman. 

“Rossi idola saya tapi Marc (Marquez) merupakan pelumba terbaik sepanjang zaman. Pada 2014, dia berjaya menang 10 perlumbaan pertama musim itu dan saya berpendapat, ‘siapa dia?’

“Selain itu, dia (Marquez) laju dalam apa jua keadaan perlumbaan termasuk panas, berangin atau basah sekalipun. Dia sangat agresif dan setiap kali perlumbaan, kami rasa seperti dia jauh lebih laju,” tambahnya. 

Musim 2025 bakal bertambah rancak apabila Marquez akan digandingkan bersama Francesco Bagnaia di pasukan kilang Ducati. Sementara itu, Quartararo akan terus kekal bersama Yamaha setelah mengikat kontrak lanjutan sehingga 2026. 

Google ads
Back to top button