Buletin

HYUNDAI LANCAR CASPER VERSI VAN DI PASARAN KOREA SELATAN. HARGA BERMULA RM48,122

Hyundai Casper merupakan antara model baharu keluaran pengeluar Korea Selatan yang mendapat sambutan dari segi jualan.

Bahkan, rekaan model terbaharu itu dikatakan mencuri hati para peminat automotif.

Terbaharu, Hyundai megembangkan barisan model berkenaan dengan memperkenalkan Casper Van yang merupakan varian van komersial ringan (LCV) dua tempat duduk.

Casper Van menyasarkan golongan profesional yang ingin memiliki van kecil penuh bergaya untuk kegunaan harian serta perniagaan mereka.

Varian terbaharu itu ditawarkan pada harga bermula AS$11,503 (RM48,122) sama seperti model standard.

Rekaan luaran Casper Van mendapat sentuhan hampir sama dengan versi penumpang.

Bagaimanapun, bahagian dalaman ia hanya didatangkan dua tempat duduk sahaja untuk menawarkan ruang lebih luas di belakang dan tidak dilengkapi skrin sentuh infotainment.

Van kecil berkenaan turut dilengkapi bar perlindungan besi pada tingkap sisi belakang untuk aspek keselamatan.

Casper Van masih hadir dengan sensor parkir belakang, lampu LED, kluster instrumen digital 4.2 inci, port USB, sambungan Bluetooth dan dua pembesar suara.

Ia mendapat sentuhan enjin 1.0 Naturally Aspirated (NA) dipadankan transmisi automatik empat kelajuan yang mampu menjana kuasa 75 hp.

Ciri-ciri lain termasuk Kawalan Cruise, Bantuan Lampu Tinggi, Forward Collision-Avoidance Assist dan Lane Keeping Assist.

Hyundai masih tidak memaklumkan sama ada Casper Van bakal dipasarkan di pasaran lain di dunia. – carscoops

Google ads
Back to top button