HYUNDAI STARIA-LOAD. HANTAR BARANG DENGAN BERGAYA
Hyundai baru-baru ini memperkenalkan van komersial Staria-Load. Varian terkini Staria tersebut dilancarkan ke pasaran Australia bagi menggantikan model lama iLoad.
Sama seperti model untuk kegunaan penumpang, ia tampil dengan reka bentuk baharu yang radikal dan didakwa jauh lebih baik berbanding model terdahulu. Ia dibina di atas platform N3 yang digunakan oleh Santa Fe yang lebih ringan dan tegar.
Kenderaan komersial itu dilengkapi suspensi belakang jenis dedaun yang membolehkannya mengangkut beban sehingga 2.5 tan tanpa sebarang masalah. Ruang kargo Staria-Load adalah sepanjang 2,607mm, bertambah 2,375mm berbanding iLoad lama.
Manakala lebarnya pula ialah 1,640mm dan tinggi 1,436mm. Ketinggian ruang kargo juga telah direndahkan sebanyak 96mm dengan bukaan pintu sisi kini lebih luas.
Staria-Load hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin 2.2-liter CRDi turbo-diesel berkuasa 174hp dan tork 430Nm yang dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan. Jentera dengan pacuan roda hadapan itu turut dipasang dengan pelbagai ciri keselamatan sebagai standard.
Ini termasuklah brek parkir elektrik, Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Surround View Monitor, Intelligent Speed Limit Assist, Multi-Collision Braking, Lane Keep Assist / Lane Following Assist, Forward Collision-Avoidance Assist, Parking Distance Warning, Safe Exit Warning, Smart Cruise Control dengan stop & go, Driver Attention Warning dan Leading Vehicle Departure Alert.
Pelanggan boleh membeli Staria-Load dengan konfigurasi dua atau lima tempat duduk dengan pilihan pintu belakang jenis liftbak-back atau twin swing.
Staria-Load dua tempat duduk ditawarkan pada harga bermula AUD$45,740 (RM139,000) dan AUD$48,240 (RM146,700) bagi varian lima tempat duduk.
- BACA: HYUNDAI STARIA MULA DIJUAL DI INDONESIA – BOLEH JUALKAH DI SANA?
- BACA: HYUNDAI, LG MULAKAN PEMBINAAN KILANG BATERI EV DI INDONESIA
- BACA: EV ORA GOOD CAT & ORA BLACK CAT DIKESAN DIUJI DI SHAH ALAM. BAKAL LANCAR Q1 2022?
- BACA: HYUNDAI CASPER 2021. SUV KOMPAK YANG COMEL. PILIHAN ENJIN N/A DAN TURBO 1.0L
GALERI