Buletin

PEMILIK TESLA DAKWA KERETA BREK SENDIRI SECARA TIBA-TIBA

Semakin ramai pemilik Tesla membuat aduan kepada pihak berkuasa bahawa kereta mereka membrek sendiri secara tiba-tiba. 

Dikenali sebagai ‘phantom braking’, masalah itu sudah menjadi antara topik perbualan hangat dalam kalangan pemilik kereta elektrik berkenaan. Namun, jumlah mereka yang mengalami masalah sama dilihat semakin ramai. 

Sebanyak 107 laporan telah dibuat kepada pihak Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan AS (NHTSA) sejak tiga bulan lalu. Angka itu naik mendadak berbanding hanya 34 aduan dalam tempoh 22 bulan sebelumnya. 

Beberapa pemilik mendakwa kereta mereka sentiasa membrek apabila ciri Autopilot digunakan. Masalah itu kadang-kala berlaku pada kelajuan tinggi di lebuh raya. Ini menyebabkan pemandu bimbang mereka akan menjadi punca kemalangan. 

Berdasarkan kepada aduan, lampu atau bayang daripada kenderaan di laluan bertentangan kadang-kala menjadi pencetus kepada masalah brek secara tiba-tiba ini. Seorang pemilik Model Y tahun 2022 memberitahu kereta membrek secara mengejut hanya kerana terdapat beg plastik di hadapannya. 

Brek kecemasan automatik (AEB) merupakan antara ciri keselamatan yang dipasang pada banyak kenderaan pelbagai jenama. Namun, AEB pada Tesla dikatakan mengesan bahaya yang tidak wujud. Masalah itu semakin serius selepas Tesla mengeluarkan sensor radar dan menggantikannya dengan kamera. 

Google ads
Back to top button