Buletin

HYUNDAI CASPER 2021. SUV KOMPAK YANG COMEL. PILIHAN ENJIN N/A DAN TURBO 1.0L

Hyundai baru-baru ini mendedahkan foto rasmi SUV segmen A terbaharunya, Casper yang bakal diperkenalkan ke pasaran Korea akhir tahun ini. 

Pelanggan dikatakan sudah boleh membuat tempahan menerusi satu laman web khas. SUV kompak yang menggunakan kod nama AX-1 itu mula dilihat menjalani ujian pada Februari dan imejnya muncul pada Mei. Menurut Hyundai, nama Casper diambil sempena satu teknik menterbalikkan papan selaju yang direka oleh Bobby “Casper” Boyden sekitar tahun 1970-an. 

Casper tampil dengan rekaan retro moden yang diserlahkan menerusi lampu utama LED berbentuk bulat. Model asas menerima rekaan gril parametrik berwarna perak. Manakala varian Active didatangkan dengan gril hitam bersama corong pengambilan udara untuk intercooler. 

Bahagian belakang pula nampak menarik dengan rekaan lampu parametrik dan diintegrasikan bersama cermin, selain spoiler dan bampar yang sporty. 

Dari segi dimensi, Casper dikatakan sepanjang 3,595mm, lebar 1,595mm, tinggi 1,575mm dan tapak roda 2,400mm. Ini menjadikannya jauh lebih kecil berbanding SUV segmen B Hyundai yang lain seperti Bayon, Creta, Venue dan Kona. 

Casper dibina di atas platform K1 yang turut digunakan oleh i10 dan Kia Picanto. Hyundai menawarkan dua enjin tiga silinder iaitu enjin NA MPI berkuasa 75hp dan enjin turbo 1.0 T-GDI (100PS) sama seperti yang digunakan pada i10. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik lima kelajuan. 

Jentera comel itu dijangka dieksport ke India dan mungkin dipasang dengan enjin empat silinder aspirasi biasa 1.2 Kappa berkuasa 83hp. Varian elektrik pula dijadual diperkenalkan pada pertengahan 2023 yang bakal menggunakan modul pemanduan bersepadu (iDM) daripada BorgWarner. 

Hyundai akan memulakan produksi Casper pada 15 September di Korea. Harap-harap Hyundai-Sime Darby bawa masuk model ke Malaysia. Mesti ramai nak beli…

GALERI

Google ads
Back to top button