Buletin

HYUNDAI PERKENAL CROSSOVER ELEKTRIK IONIQ 5. REKAAN FUTURISTIK

Hyundai mendedahkan crossover elektrik, Ioniq 5 yang merupakan model pertama di bawah sub-jenama elektrik Ioniq baharu.

Jentera terbaharu itu yang masih setia dengan rekaan konsep 45 memiliki dimensi 4,635mm panjang, lebar 1,890mm dan tinggi 1,605mm. Manakala jarak antara roda pula mencecah 3,000mm.

Keunikan luaran Ioniq 5 menampilkan bahasa rekaan yang dikenali sebagai Parametric Dynamics. Ia hadir dengan permukaan garis badan lebih tajam, pemegang pintu moden dan kemas tertanam di bahagian sisi.

Selain itu, ia turut dilengkapi lampu LED moden dan hud hadapan clamshell. Ini bagi memastikan jarap panel untuk memberi fungsi aerodinamik yang optimum.

Jentera itu didatangkan bersama set rim bersaiz 20 inci yang mampu meningkatkan aliran udara dan dipadankan bersama karakter kenderaan elektrik.

Masuk ke ruang dalaman pula, Hyundai Ioniq 5 menampilkan tema Ruang Kehidupan (Living Space). Antara ciri-cirinya ialah lantai rata, tempat duduk lebih selesa, garis rekaan pintu serta tempat rehat tangan yang menggunakan bahan mesra eko.

Bahan yang digunakan dalam memastikan ia mesra alam sekitar termasuk botol kitar semula PET, kulit diproses secara eko, cat menggunakan ekstrak tumbuhan,  benang berasaskan tumbuhan dan benang semula jadi.

Dengan lantai yang rata, ia sekali gus memberikan ruang lebih luas di dalam kabin. Malah tempat duduk hadapan boleh disesuaikan secara elektronik bagi memberi lebih keselesaan.

Konsol bahagian tengah yang menggunakan kaedah Universal Island mampu meluncur ke belakang sebanyak 140 mm untuk pergerakan lebih bebas di dalam kabin.

Ioniq 5 dilengkapi skrin berkembar di bahagian papan pemuka dan dipadankan kluster instrumen dengan skrin 12 inci.

Ia turut menawarkan fungsi V2L inovatif yang membolehkan pengecasan alat elektrik dengan bebas termasuk basikal elektrik, skuter dan peralatan perkhemahan.

Hyundai Ioniq didatangkan dengan pek bateri 58 kWh atau 72.6 kWh dan konfigurasi pacuan roda belakang atau semua roda.

Versi paling asas 58 kWh boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal (168 hp/350 Nm) yang mampu memecut 0 hingga 100 km/j dalam 8.5 saat.

Versi AWD (232 hp/605 Nm) dengan motor elektrik berkembar (depan 71hp/255Nm, belakang 161hp/350Nm) menawarkan pecutan 0 hingga 100km/j sepantas 6.1 saat.

Versi pek bateri yang lebih besar 72.6 kWh dengan sistem motor elektrik tunggal menghasilkan kuasa setinggi 215hp dan 350Nm, pecutan 0 hingga 100km/j dalam 7.4 saat.

AWD yang merupakan versi paling berkuasa menawarkan 302hp/605Nm dengan gandingan motor elektrik berkembar (depan 94 hp/255 Nm, belakang 208 hp/350 Nm) serta pecutan sepantas 5.2 saat.

Dari segi keselamatan, Ioniq 5 dilengkapi sistem SmartSense. Ia menjadi model terbaharu Hyundai yang menawarkan ciri-ciri seperti Highway Driving Assist 2, Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Driver Attention Warning (DAW), High Beam Assist (HBA) dan banyak lagi.

Hyundai Ioniq 5 akan dilancarkan di pasaran Eropah pada pertengahan tahun ini. Manakala Amerika Syarikat pula dijangka menerima model terbaharu itu ketika musim luruh. – carscoops

Google ads
Back to top button