Artikel Pilihan

HYUNDAI LANCAR KERETA ELEKTRIK, IONIQ 5. BOLEH CAS PAKAI MATAHARI

Laman sesawang Hyundai mendedahkan satu rekaan kereta elektrik baru (EV) bakal dilancarkan oleh Hyundai dalam masa terdekat. Pembuat kereta dari Korea ini bersedia untuk memberi tawaran kereta elektrik yang sebelum ini dimonopoli oleh Tesla. Kereta elektrik ini dikeluarkan oleh subsidiari Hyundai, iaitu Ioniq dengan model terbaru ini dikenali dengan nama Ioniq 5.

Ioniq 5 dibangunkan dengan menggunakan platform modular milik Hyundai yang dikenali dengan nama E-GMP EV Platform yang boleh dikonfigurasi kepada 25 rekaan yang berbeza. Menurut laman web TheKoreanCarBlog, panjang keseluruhan Ioniq 5 ialah 4640mm, lebar 1890mm, tinggi 1600mm dan jarak antara roda yang besar iaitu 3000mm.

Ioniq 5 bakal dikuasakan dengan 2 motor elektrik yang menghasilkan 309 kuasa kuda. Satu motor dipasang pada roda depan dan satu lagi motor dipasang pada roda belakang bagi menghasilkan konfigurasi AWD. Ioniq 5 berupaya memecut 0-100km/j dalam masa 5.2 saat dan jarak pemanduan ialah 450km bagi satu pengecasan penuh dengan menggunakan bateri 58kWh

Ioniq 5 boleh dicas dengan punca kuasa elektrik 2.3kW, 11kW atau menggunakan pengecasan pantas 800Volt yang berupaya memenuhi bateri dari 20% kepada 80% dalam masa 15 minit. Dikatakan juga satu lagi varian dengan bateri sebesar 73kWh akan dipasarkan kemudian dengan jarak perjalanan sehingga 550km bagi satu pengecasan penuh

Satu lagi ciri menarik berkenaan Ioniq 5 ini ialah ia akan datang dengan ciri bumbung solar yang berupaya menukar tenaga cahaya matahari kepada tenaga elektrik. Tenaga elektrik ini akan disimpan dalam bateri sistem bagi membantu Ioniq 5 mendapat jarak perbatuan yang lebih jauh

Google ads
Back to top button