Buletin

HYUNDAI SONATA N LINE 2021, BERGAYA KAN?

Nampaknya kita berada di dalam tempoh kempen agresif jenama kenderaan Korea. Ada sahaja model menarik dikeluarkan sama ada dari Kia atau Hyundai.

Pengenalan tersebut merangkumi pelbagai segmen dari sedan, SUV hingga ke model berprestasi.

Terbaru Hyundai Motor Company memperkenalkan Sonata N Line 2021 dengan kit gayaan menarik dan tambahan kepada siri N Line seperti i10, Elantra, i30, SUV Tucson dan Kona.

Varian N Line tidak sama seperti model N penuh (i30 N, Veloster N) dan lebih kepada gayaan serta talaan ringan.

Sonata N Line adalah varian terbaru selepas Hyundai memperkenalkan Sonata generasi kelapan dan Sonata Hybrid pada tahun 2019. 

Sonata N Line diposisi sebagai akses kepada jenama N dan sesuai untuk pengguna yang mahukan sesuatu berbeza atau lebih ringan daripada model penuh N.

Bahagian depan Sonata standard sudah pun menyerlah dengan gril yang besar dan kini dengan corak melata ke bawah (cascading) dan logo N selain tiga corong kemasukan udara pada bampar.

Dari tepi Sonata N Line tampil sederhana dengan skirt ringkas tetapi menonjol melalui roda aloi 19 inci bercorak rumit dan warna dua tona.

Pada bahagian belakang, karakter sporti sedan segmen C ini menyerlah melalui bampar dengan diffuser N Line dan ekzos berkembar pada kanan dan kiri kereta.

Bahagian dalam dihiasi dengan kemasan krom gelap, sulaman merah N Line pada stereng dan kerusi sport.

Berkenaan rangkaian kuasa, Hyundai belum memperincikannya dan Sonata pasaran Amerika Syarikat ditawarkan enjin 2.5 liter berkuasa 191 hp, 245 Nm dan 1.6 liter T-GDI berkuasa 185 hp dan 241 Nm.

Dikhabarkan bahawa ada enjin lain yang lebih berkuasa digunakan Sonata N Line dan ianya bakal disahkan semasa pelancaran global pada Oktober 2020.

BACA: HYUNDAI KONA N LINE, INI BARU MENGANCAM!

BACA: HYUNDAI ELANTRA N LINE 1.6 TURBO, ADA GAYA ADA KUASA!

BACA: SEGALANYA TENTANG HYUNDAI INTELLIGENT MANUAL TRANSMISSION

Kredit: Hyundai

Google ads
Back to top button