PEMILIK SUBARU WRX ‘JUARA’ PALING BANYAK KENA SAMAN MEMANDU LAJU DI AS – KAJIAN
Satu kajian mendapati pembeli model kereta tertentu lebih cenderung menerima tiket saman kerana memandu laju berbanding kenderaan jenama lain di Amerika Syarikat (AS).
Dalam kajian berkenaan, sebanyak 10.54 peratus pemandu di AS mempunyai rekod melanggar had kelajuan.
Daripada jumlah tersebut, pemilik Subaru WRX kemungkinan besar akan dikenakan denda kerana memandu laju dengan 20.49 peratus pemilik telah menerima sekurang-kurangnya satu tiket saman kerana memandu laju.
Menghuni tangga kedua pula merupakan pemilik jentera Volkswagen Golf GTI dengan 17.38 peratus pernah menerima saman memandu dengan laju.
Subaru Impreza (15.9%), Infiniti G37 (15.61%) dan Dodge Dart (15.45%) tidak jauh ketinggalan apabila masing-masing pemilik jentera berkenaan pernah melanggar undang-undang berkenaan.
Kajian dilakukan Insurify dengan memeriksa pangkalan data yang mengandungi lebih daripada 2.5 juta pemohon insurans kenderaan.
Ia dilakukan untuk mengenal pasti model kenderaan memiliki kesalahan memandu dengan laju paling banyak.
Apabila memohon insurans, para pemandu diwajibkan mengisi informasi peribadi dan kenderaan malah menyatakan sama ada pernah menerima saman memandu laju.
Pasukan penyelidik akan menganalisis jumlah pemilik kenderaan dengan pelanggaran kelajuan terhadap jumlah pemandu untuk setiap model dengan peratusan. – carscoops