
HYUNDAI ELANTRA N LINE 1.6 TURBO, ADA GAYA ADA KUASA!
Hyundai terus memperhebatkan varian sporti dengan menawarkan Elantra N Line baharu. Varian baharu itu menjadikan Elantra yang dilancarkan pada April 2020 kelihatan lebih agresif.
Berbeza dengan model prestasi penuh seperti i30 N, varian N Line diposisi sebagai aras mula kepada model N dan mengembangkan lagi tarikan Elantra kepada pelbagai kategori pelanggan.
Reka bentuk Elantra sendiri sudah pun menyerlah dan ditambah lagi dengan bampar yang lebih agresif dan logo N Line pada gril.
Liang berbentuk panah pada bampar mempunyai fungsi tersendiri dari segi prestasi aerodinamik dan penyejukan enjin.
Dari tepi, permukaan panel badan sedia ada yang berbentuk garisan panah sudah cukup untuk menyerlahkan Elantra dan hanya skirt nipis ditambah selain roda aloi 18 inci.
Bahagian belakang pula menerima bampar dengan diffuser lebih agresif dengan dua muncung ekzos krom dan spoiler halus pada but.
Elantra N Line ini mempunyai kuasa yang sepadan dengan gaya.
Ia digerakkan enjin 1.6 liter GDI turbo dengan pilihan transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan DCT. Kuasa enjin itu ialah 201 hp dengan daya kilas 264 Nm.
Dari segi pengendalian, jurutera Hyundai telah melakukan beberapa perubahan pada suspensi bagi meningkatkan tahap ketegaran untuk lebih cengkaman turut dibantu roda aloi 18 inci dan cakera brek depan lebih besar.
Pada bahagian dalam, stereng dibalut kulit dan mempunyai logo N. Pemandu dihidangkan kerusi sport N dengan bolster balutan kulit dan pedal aluminium.
Selain kemasan luar dan dalam, Elantra N Line dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan canggih seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA) dan High Beam Assist (HBA).
Ada lagi teknologi canggih iaitu Driver Attention Warning (DAW) dan Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA) dengan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA).
Pembeli turut diberikan Kunci Digital Hyundai dan untuk peranti disediakan sambungan tanpa wayar CarPlay dan Android Auto.
Buat pemillik Hyundai N Line yang mahukan melakukan penyesuaian sendiri, komponen prestasi N boleh dibeli berasingan dan setakat ini ditawarkan di Korea dahulu.
Selepas pelancaran Elantra N Line, ada lagi perancangan Hyundai iaitu memperkenalkan Sonata N Line dengan enjin 2.5 turbo GDI pula.
BACA: HYUNDAI VELOSTER N GUNA 8 GEAR DCT! LAGI CEKAP
BACA: IONIQ JADI JENAMA SENDIRI, EV KENDERAAN MASA DEPAN!
BACA: SEGALANYA TENTANG HYUNDAI INTELLIGENT MANUAL TRANSMISSION