Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG HYUNDAI INTELLIGENT MANUAL TRANSMISSION

Maksud tajuk di atas ialah transmisi manual buatan Hyundai yang digabungkan dengan ciri kecerdasan pintar buatan. Jadi transmisi manual ini boleh mengesan niat pemandu, mengaktifkan klac secara automatik membolehkan anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac. Pemandu menikmati keseronokan pemanduan manual tanpa lenguh labu betis dan kepala lutut berisiko untuk tercabut

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, penulis menyusun maklumat berkenaan transmisi ini dalam bentuk poin bernombor.

1. Kelemahan enjin – enjin petrol pembakaran dalaman ini berfungsi dalam julat tertentu sahaja dengan efisyen. katakan enjin menghasilkan 200Nm tork pada 4000 RPM, bukan bermakna hidup sahaja enjin ia ada 200Nm tork. Ia perlu diperah sehingga 4000RPM bagi mendapatkan tork maksima

2. Fungsi gear – sebab itulah gear atau transmisi diperkenalkan bagi membolehkan enjin sentiasa beroperasi dalam keadaan efisyen, sistem gear mengekstrak kuasa enjin secara optima dan halaju tayar boleh berbeza dengan halaju enjin. Katakanlah enjin hanya ada gear 1, maka meraunglah enjin pada 6000 RPM dengan halaju 30km/jam

3. Fungsi Klac- gear akan dipadankan dalam beberapa set, seperti Hyundai Venue ini dipadankan dengan 6 ratio yang berbeza. Fungsi sebenar klac ialah memutuskan seketika sambungan enjin dan gear supaya pemandu boleh menukar gear tanpa merosakkan gear itu sendiri dan penukaran gear dibuat dengan lancar.

Apabila pedal klac ditekan menerusi sistem hidraulik, ia akan mennyahaktifkan sistem spring yang ada dalam sistem klac. Sambungan antara gear dan enjin akan terbuka seketika dan ketika inilah pemandu menukar gear.

4. Sistem i-MT – fungsi mengaktifkan klac diambil alih sistem AI dan pemandu hanya menukar tombol gear dengan gembira. Jadi Hyundai Venue yang dipasang dengan sistem ini tidak dipasang dengan pedal klac. ia hanya ada pedal minyak dan pedal brek sahaja, sama seperti kereta dengan transmisi automatik

5. Bagaimana i-MT berfungsi – salah satu komponen dalam sistem ini ialah Transmission Gear Shift Lever atau singkatannya TGS. Ia merupakan gabungan alat pengesan penukaran gear, aktuator hidraulik dan juga unit kawalan transmisi atau TCU.

Komponen lain termasuklah concentric slave cylinder, tiub klac, sistem klac dan pressure plate sama seperti gear manual biasa. Kesemua komponen ini akan bekerjasama apabila pemandu menukar gear

5.1 Untuk memulakan perjalanan pemandu perlu memasukkan gear dari kedudukan Neutral kepada gear 1

5.2 Untuk bergerak lebih laju, pemandu akan menukar gear dari 1 kepada 2. Unit TGS akan mengesan perbuatan atau keinginan pemandu untuk menukar gear dan menghantar isyarat kepada TCU

5.3 TCU akan mengaktifkan aktuator hidraulik bagi menghasilkan tekanan hidraulik, yang akan diarahkan kepada slave cylinder menerusi tiub klac. Tindakan ini akan memutus dan menyambung semula klac bagi penukaran gear.

6. Kelebihan i-MT – jika melalui kesesakan jalan raya terutama ketik pemanduan dalam bandar, pemandu tidak lagi perlu menggunakan kaki kiri ketika memandu. Pemandu hanya fokus pada operasi penukaran gear sahaja. Hyundai mendakwa sistem ini merupakan sistem yang seimbang antara prestasi dan juga penjimatan bahan api

7. Adakah ia sama dengan AMT – Automated Manual Transmission atau AMT merupakan gear manual dengan sistem klac tunggal diperasikan secara automatik dan penukaran gear juga dibuat oleh TCU. Dalam sistem AMT, pemandu boleh memilih untuk menggunakan pilihan manual melalui butang +/- atau membiarkan TCU menukar gear untuk anda. Tapi disebabkan ia hanya ada satu klac, operasinya ketika jalan sesak menjadi tidak lancar

8. Bagaimana dengan sistem DSG/DCT – sistem DSG sama seperti AMT kerana ia masih menggunakan kotak gear manual dan operasi klac dijalankan secara automatik. Satu set gear ganjil (1 3 5) dan satu set gear genap (2 4 6) dipautkan pada klac yang berbeza menjadikan penukaran gear amat lancar. Sistem klac berfungsi dengan bergilir dimana jika gear 1 diputuskan dari klac, gear 2 yang berada dalam satu lagi klac akan diaktifkan secara automatik

9. Enjin Hyundai Venue – Bagi Hyundai Venue yang merupakan crossover kompak ia akan dipadankan dengan enjin 3 silinder, 1000cc turbo dengan suntikan bahan api terus. Enjin ini akan menghasilkan 120 kuasa kuda dan 171Nm tork. Boleh tahan juga

Google ads
Back to top button