Artikel Pilihan

INI CARA UNTUK MENGENALI MODEL MERCEDES BENZ BERDASARKAN KOD NAMA

“The best or nothing” adalah moto yang digunakan oleh syarikat Mercedes Benz, salah satu syarikat automotif yang mengetengahkan model yang mewah kepada pengguna. Jenama ini berasal daripada beberapa individu seperti Karl Benz, Gottlieb Daimler, jurutera pertama mereka Wilhelm Maybach dan Emil Jellinek yang memberikan nama Mercedes sempena nama anak perempuannya

Jika anda perhatikan, sejarah Mercedes cukup panjang dan disumbangkan oleh beberapa individu. Jadi tidak hairanlah anda boleh perhatikan model Mercedes memiliki nama dan kod yang agak panjang serta unik. Untuk memudahkan pemahaman anda, model-model Mercedes boleh dikategorikan seperti berikut:

Berdasarkan rekaan luar yang dikelaskan mengikut Abjad

1. A Class -muncul pada tahun 1997, merupakan satu model yang agak pelik bagi Mercedes kerana menggunakan pacuan depan. Biasanya semua model Mercedes menggunakan pacuan belakang. Apatah lagi model ini direka berdasarkan rekaan kompak atau hatchback yang tidak pernah dihasilkan oleh Mercedes

Huruf A dipilih kerana huruf A adalah huruf nombor satu dalam susunan abjad. Sesetengah wartawan menamakan huruf ini sebagai Affordable dan ada juga yang menamakan sebagai Advance. Tapi A Class tidak lagi terhad kepada kompak, malah turut dihasilkan sebagai sedan

2. B Class- dilancarkan pada tahun 2005 dimana Mercedes perlukan sebuah model yang lebih besar daripada A Class tapi mengekalkan rekaan 2 kotak. Ruang dalaman pula dimaksimakan dengan memberikan ruang yang tinggi di bahagian atas kepala.

Cara yang paling mudah ialah gunakan saja cesi A Class, besarkan sedikit dan sumbat enjin yang lebih besar. Jika A Class dihasilkan dalam varian kompak diikuti dengan sedan, maka B Class pula ditawarkan sebagai MPV kompak dengan 5 tempat duduk.

3. C Class – dihasilkan sebagai model pengganti W190 dan dilancarkan pada tahun 1993. Ia akan ditawarkan dalam bentuk sedan 4 pintu, wagon 5 pintu, coupe 2 pintu, Cabriolet dan turut ditawarkan sebagai model berkuasa dengan varian AMG

Huruf C tiada sebarang maksud dalam bahasa Jerman, melainkan wartawan permotoran pada ketika itu membuat spekulasi ia memberi maksud Compact Luxury Sedan atau Compact Executive Car. Dari segi saiz, C Class boleh diletakkan dalam kategori segmen D

4. E Class – atau disebut juga sebagai E-Klasse merujuk kepada sedan mewah saiz sederhana. Ia mula menggunakan sistem suntikan bahan api yang disebut sebagai Einspritzmotor, menjadikan E sebagai tanda nama model. Nama E Class mula digunakan pada tahun 1993 selepas model W124 menjalani proses facelift

Model kedua E Class iaitu W210 dilancarkan pada tahun 1995 merupakan sedan mewah segmen E atau Executive iaitu lebih besar dan mewah dari segmen D (model C Class). E Class dihasilkan dalam bentuk sedan, coupe, cabriolet dan juga Sportwagon

2021 GLE 350 de

5. S Class – merupakan model paling istimewa yang dihasilkan oleh Mercedes dengan nama lain ialah S-Klasse. Ia merupakan sedan paling mewah dan canggih yang dihasilkan oleh Mercedes. Ia akan ditawarkan dengan pelbagai ciri mewah bagi melawan Bently dan Rolls Royce dalam varian limosine atau kereta perisai

Jadi tidak hairanlah ia dinamakan sebagai Sonderklasse (kelas istimewa / special outfitted car). Jangan hairan kerana S Class turut ditawarkan sebagai Coupe dan juga Cabriolet. Malah S Class juga dijadikan sebagai benchmark oleh Lexus untuk model pertama mereka

6. X Class – merupakan satu siri baru yang dihasilkan oleh Mercedes dan merujuk kepada kenderaan pikap keluaran pertama mereka. Melalui hubungan perniagaan yang lama, Mercedes dan Nissan bekerjasama dalam menghasilkan X-Class.

Nissan memberikan cesi Nissan Navara kepada Mercedes, manakala enjin, rekaan luar dan kemasan dalaman adalah mengikut rekaan Mercedes sepenuhnya. Ia merupakan percubaan pertama Mercedes bagi menghasilkan kenderaan pikap 4×4 dalam kategori mewah.

7. V Class – atau Viano merujuk kepada rekaan yang berasaskan van pelbagai guna. Ia dihasilkan dalam bentuk van panel bagi kegunaan komersial ataupun MPV untuk kegunaan keluarga. Bagi komersial ia akan menggunakan nama Vito manakala MPV menggunakan nama Viano

Model dengan nama 2 huruf

8. GL Class – merupakan singkatan kepada nama Geländewagen yang membawa maksud offroad vehicle, ditawarkan dalam pelbagai kelas atau saiz samaada GLA, GLB, GLC, GLE dan juga GLS. Ia akan ditawarkan dengan pacuan roda depan ataupun pacuan semua roda AWD

9. CL Class – CL membawa maksud Coupé Leicht (Coupé-Light) or Coupé Luxusklasse (Coupé-Luxury) merupakan kereta sport Grand Tourer. Ia masih kereta sport 2 pintu tapi dibina dengan lebih mewah dan selesa untuk perjalanan jarak jauh. Nama ini digugurkan dan diganti dengan nama Coupe pada tahun 2010 dan ke atas

Di bawah kelas CL ini ada beberapa varian yang dihasilkan oleh Mercedes termasuklah CLA (coupe tapi dengan 4 pintu bagi kelas A), CLC (coupe 2 pintu bagi C Class), CLS (coupe 4 pintu dari kelas E) dengan kesemua rekaan ini menggunakan bumbng yang rendah.

10. SL Class – jika CL merupakan coupe 2 pintu, SL membawa maksud kereta sport roadster 2 pintu tanpa bumbung. SL membawa maksud dalam bahasa Jerman Sport-Leicht (English: Sport Light). Rekaan bumbung kereta sport Mercedes biasanya dihasilkan dengan konsep hardtop rectractable yang boleh dilipat secara automatik

Dalam sejarah Mercedes ada 4 nama SL yang digunakan samaada SL (konsep asal roadster), SLC (Sport Leicht Compact) dan SLK (Sport Leicht Kurz/Sport Light Short) dan SLR (Sport Leicht Racing)

11. AMG – ok kalau perkataan AMG ini wujud, ini bermakna model agak special sikit. AMG membawa maksud A = Aufrecht + M = Melcher + G = Großaspach. Atau lebih mudah Aufrecht dan Melcher ini nama pengasas dan Großaspach ini nama tempat

Kalau model Mercedes ini diberi nama AMG GT, maka ia merupakan kereta sport Mercedes dengan talaan enjin yang lebih berkuasa seperti Mercedes Benz AMG-GT. Kalau nama AMG ini berada di hujung, maka model tersebut diberikan kemasan luar yang sporti tanpa ada perubahan dan talaan enjin yang ketara seperti Mercedes-benz E 300 AMG Line

12. Model Elektrik EQ – biasa diberikan dengan tanda nama EQ yang merujuk kepada Electric, emotion & intelligent. Setakat ini ada 4 model kereta elektrik yang dihasilkan oleh Mercedes seperti EQS (Sonder klasse sedan, platform baru sepenuhnya), EQA (SUV electric kelas A, diasaskan dari GLA), EQB (SUV electric kelas B, diasaskan dari GLB)

13. Angka – dalam barisan nama model Mercedes akan ditemani dengan satu angka seperti 200 dan 300. Biasanya enjin bagi model ini ialah 4 silinder turbo (tanpa mengira saiz CC enjin) dan angka di belakang menunjukkan kuasa enjin. Bagi 200, ia menunjukkan enjin ini menjana kurang daripada 200 kuasa kuda dan 300 menunjukkan kurang daripada 300 kuasa kuda

Bagi model yang berasakan prestasi tinggi ia akan ditemani dengan 2 angka sahaja seperti 35, 45, 43 dan juga 63. Ia mungkin menggunakan enjin 4 silinder turbo dengan 2 angka di belakang menunjukkan kuasa maksimum 35 (kurang 350 kuasa kuda) dan 45 (kurang 450 kuasa kuda)

Tapi bagi sesetengah model seperti 43, ia menggunakan enjin V6 3000cc turbo yang menjana 367 kuasa kuda (kurang daripada 430hp) dan model 63 menggunakan enjin V8 4000cc turbo yang menjana 510 kuasa kuda (kurang daripada 630). Ini adalah sekadar anggaran dan pendapat penulis semata mata

Untuk latihan, mari kita cuba kenali beberapa model berdasarkan nama yang digunakan.

14. Mercedes-AMG A 45 S 4MATIC+ Hatch- ini adalah model prestasi tinggi, yang dihasilkan dengan kerjasama AMG, kompak kelas A, kuasa kurang 450 kuasa kuda (kuasa sebenar 421hp), S (sonder, varian istimewa), dan dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda AWD

15. Mercedes-Benz CLA 200 – Model coupe kompak segmen A tapi dengan rekaan 4 pintu serta kuasa kurang daripada 200hp

16. Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line – model kenderaan offroad, saiz kompak (C Class), kuasa enjin kurang 300hp, pacuan semua roda dengan kemasan luar lebih sporti seperti AMG

Jadi dalam satu nama, kita boleh tahu samaada model ini model biasa, atau model sport, saiz, jenis kenderaan (sedan atau SUV atau Van), kuasa enjin dan menggunakan AWD atau pacuan 2 roda sahaja

Google ads
Back to top button