Buletin

AUDI AKAN HENTIKAN PENGELUARAN MODEL TT, GANTI DENGAN KERETA ELEKTRIK

Volkswagen Group mengesahkan bahawa ia akan menghentikan pengeluaran model coupe Audi TT kerana jualan yang semakin merudum. Tahun lalu misalnya, hanya 1,300 unit TT berjaya dijual di Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Bram Schot dalam satu mesyuarat agung tahunan Audi memberitahu TT akan digantikan dengan sebuah kereta elektrik.

AUDI TT GENERASI KE-3

Langkah itu memang selari dengan hala tuju Volkswagen yang mahu menghasilkan lebih banyak model EV. Harga model EV baharu itu juga mungkin tidak jauh beza dengan TT sekarang.

“Jualan kenderaan EV, termasuklah hibrid akan merangkumi 40 peratus jualan masa depan. Jadi, kami akan menghentikan produksi model-model lama. Lagi pun kereta dengan enjin pembakaran dalaman menjadi semakin mahal dan EV kian murah,” kata Audi.

Jika sejarah TT yang menggunakan platform VW Golf diambil kira, maka tidak mustahil model EV gantian itu akan dibina di atas platform MEB Volkswagen ID.3

Satu lagi model yang mungkin menerima nasib sama ialah supercar R8. Masa depan kereta sports itu masih dibincangkan oleh pihak pengurusan tertinggi Audi dan akan didedahkan bila tiba masanya.

Berbanding pesaingnya iaitu BMW dan Mercedes-Benz, kondisi Audi agak teruk apabila jualan globalnya jatuh hampir enam peratus pada awal tahun ini. Ia berikutan jualan yang lembab di pasaran China.

Audi dikatakan merancang untuk menghasilkan lima model EV dan tujuh plug-in hybrid dalam masa dua tahun. Jumlah model EV itu akan ditingkatkan kepada 30 menjelang tahun 2025.

Google ads
Back to top button