Buletin

AUDI Q8 KINI SUDAH ADA DI MALAYSIA – 3.0 TFSI QUATTRO, RM727,900 SEUNIT

Berita baik untuk mereka yang sedang mencari sebuah SUV saiz penuh premium.

Ini kerana Audi Malaysia baru sahaja melancarkan model Audi Q8 ke pasaran tempatan pada harga RM727,900 seunit.

Menjadi model terbaharu dalam keluarga Q Audi, Q8 hadir dalam bentuk coupe empat pintu yang elegan.

Sama seperti semua model baharu Audi, Q8 didatangkan dengan gril bingkai tunggal oktagonal dan corong kemasukan udara yang besar.

Penampilannya diserlahkan lagi dengan sepasang lampu utama LED Matrix HD yang mempunyai rekaan berbeza berbanding SUV Audi lain.

Enjin 3.0 TFSI

Di Malaysia, SUV coupe ini  menggunakan enjin 3.0 TFSI quattro yang menghasilkan kuasa 340hp kuasa dan tork 500Nm. Pecutan 0-100km/j hanya memerlukan 5.9 saat, dengan kelajuan maksimum 250km/j.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi tiptronic lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa melalui sistem pacuan semua roda quattro.

Sistem janaan kuasa ini sangat cekap kerana kehadiran teknologi mild hybrid (MHEV). Sistem elektrik 48-volt merangkumi dua modul penting; bateri lithium-ion dan penghidup tali sawat alternator.

Ketika membrek, ia mampu menjana semula 12 kW kuasa dan menyalurkannya kepada bateri.

Teknologi MHEV membolehkan fasa pergerakan sekata yang lebih panjang dengan enjin dinyah-aktifkan serta jarak Start/Stop yang bermula dari 22 km/j. Ia mampu mengurangkan kadar penggunaan minyak sehingga 0.7 liter bagi setiap 100km.

Suspensi udara adaptif

Dengan jarak kelegaan tanah setinggi 254mm, overhang yang pendek, sistem pacuan semua roda kekal serta kawalan menuruni curam, Audi Q8 mampu meredah apa jua permukaan jalan tanpa sebarang masalah.

Keselesaan berada di dalam Q8 banyak dibantu oleh penggunaan sistem suspensi udara adaptif dengan kawalan penyerap hentak yang menjadi ciri standard.

Suspensi itu membolehkan ketinggian kenderaan dilaras sehingga 90mm bergantung kepada situasi pemanduan dan kehendak pemandu.

Ruang kabin premium

Dengan konsep maklum balas dari MMI Touch pada Audi Q8, hampir semua fungsi boleh dicapai melalui dua paparan besar yang disediakan.

Skrin paparan sentuh MMI 10.1 inci digunakan untuk mengawal sistem infotainmen dan navigasi.

Pemandu juga boleh menggunakan paparan 8.6-inci di bawah untuk mengawal sistem pendingin hawa, fungsi-fungsi sampingan lain serta input teks.

Operasinya cukup mudah, bunyi klik akustik akan kedengaran selepas jari mengaktifkan sesuatu fungsi.  Selain itu, kawalan suara melalui bahasa seharian juga membolehkan pengguna untuk berdialog dengan Audi Q8.

Pemandu boleh menyatakan ayat ringkas, misalnya “I am hungry” dan sistem akan mencadangkan senarai restoran berdekatan.

Panel instrumen dipaparkan melalui virtual cockpit Audi digital sepenuhnya. Paparan 12.3-inci resolusi tinggi boleh dipilih penampilannya melalui stereng multi-fungsi.

Pilihan Plus akan memberikan paparan ketiga yang lebih sporty. Unit head-up display (HUD) memaparkan maklumat-maklumat penting pemanduan ke cermin depan, termasuk panduan mengekalkan lorong untuk rujukan pemandu.

Bagi profil individu pengguna, sistem ini membenarkan sebanyak 400 tetapan disimpan oleh lebih daripada seorang pemandu.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button