
JAGA-JAGA SEMUA. ZEEKR 9X BAKAL PECAH MONOPOLI SUV ULTRA MEWAH
Kehadiran Zeekr 9X ke pasaran Malaysia kini bukan lagi menjadi teka teki, sebaliknya hanya masa yang sesuai menentukan kehadiran model flagship Zeekr ini. Perkara ini sendiri disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zeekr, Eddy Lu, yang menjelaskan bahawa model flagship tersebut memang akan dibawa masuk ke Malaysia, cuma pelancarannya bergantung kepada faktor teknikal tertentu.
Menurut beliau, tempoh masa itu banyak bergantung kepada proses kejuruteraan bagi menukar konfigurasi pemanduan kiri (LHD) kepada pemanduan kanan (RHD), serta penyesuaian daripada peraturan automotif China kepada piawaian Eropah yang digunakan di Malaysia.
Berdasarkan perkembangan semasa, Zeekr menyasarkan kehadiran 9X sekitar akhir tahun ini atau awal tahun hadapan dari sudut perancangan global, sebelum ia benar-benar bersedia untuk pasaran tempatan.

Zeekr 9X bukan SUV biasa dan ia sengaja diposisikan sebagai model paling atas dalam hierarki jenama tersebut. Dengan panjang melebihi 5.2 meter, rekaan yang besar dan kehadiran yang sangat dominan, ia sering digambarkan sebagai “Rolls-Royce Cullinan versi China”.
Ini adalah SUV ultra-mewah yang dibangunkan untuk menunjukkan kemampuan sebenar Zeekr dari segi kejuruteraan, teknologi dan prestasi, bukannya sekadar untuk mengejar angka jualan.
Dari sudut mekanikal, Zeekr 9X menggunakan pendekatan yang agak berbeza berbanding kebanyakan EV tulen. Ia dibekalkan dengan sistem plug-in hybrid berprestasi tinggi, menggabungkan enjin petrol 2.0 liter turbo bersama motor elektrik.

Hasilnya ialah angka kuasa yang hampir sukar untuk dipercayai bagi varian 3 motor elektrik dengan hamburan kuasa sekitar 1,400 PS dan 1,410 Nm, membolehkan SUV sebesar ini memecut dari 0–100 km/j dalam sekitar 3.1 saat. Dalam mod elektrik sepenuhnya pula, kapasiti baterinya membolehkan jarak pemanduan sehingga 380 km (CLTC), menjadikannya praktikal untuk kegunaan harian tanpa bergantung sepenuhnya kepada enjin petrol.
Untuk rekaan kabin, pendekatan yang diambil Zeekr jelas menekankan pengalaman mewah dan teknologi. Ruang dalaman dipenuhi material premium, skrin besar di hampir setiap bahagian, paparan HUD berasaskan realiti tambahan, sistem audio kelas atasan, serta kerusi dengan fungsi urutan dan pelbagai pelarasan. Segala-galanya direka untuk memberi keselesaan maksimum, khususnya kepada penumpang barisan kedua yang sering menjadi fokus utama dalam segmen SUV ultra-premium.
Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, Zeekr 9X turut dilengkapi sistem ADAS canggih yang setanding dengan jenama premium Eropah. Ini termasuk ciri pemanduan separa autonomi yang memberi tumpuan kepada keselesaan dan keselamatan perjalanan jauh, bukan sekadar teknologi untuk dipamerkan di spesifikasi.

Soal harga pula, Zeekr sendiri sudah menetapkan jangkaan yang sangat jelas. Menurut Eddy Lu, tiada sebab untuk menjangkakan Zeekr 9X akan dijual lebih murah daripada model MPV paling mahal iaitu Zeekr 009. Di China, harga Zeekr 9X berada sekitar RMB 465,900 hingga RMB 599,900, iaitu hampir mencecah setengah juta yuan.
Apabila dibawa masuk ke Malaysia sebagai model hibrid CBU, cukai yang dikenakan adalah jauh lebih tinggi berbanding EV, dan ini secara automatik akan melonjakkan harga jualannya. Malah, beliau menjangkakan bahawa harga Zeekr 9X di Malaysia pasti akan jauh lebih tinggi daripada harga versi tertinggi Zeekr 009 yang ada sekarang.
NamunZeekr 9X bukan model yang direka untuk menarik pembeli arus perdana. Ia adalah sebuah produk penanda aras, yang menunjukkan sejauh mana jenama China kini mampu mencabar pemain lama dalam segmen SUV ultra-premium. Untuk pasaran Malaysia, kehadirannya nanti bukan sekadar pelancaran model baharu, tetapi satu isyarat jelas bahawa permainan di liga SUV Ultra mewah menjadi semakin sengit.



