
SUHU -30 CELCIUS? ZEEKR 7X KATA KACANG JE….
Bagi kebanyakan pengeluar automotif, sesi pandu uji EV biasanya dibuat dalam keadaan hampir sempurna di litar tertutup milik syarikat dengan jalan kering, cuaca sederhana, dan suhu yang mesra bateri. Tapi di wilayah Harbin, China, semua itu tak wujud.
Suhu di sini boleh menjunam hingga bawah -30°C, salji tebal menutup jalan, dan inilah elemen alam semulajadi sebenar yang paling menyeksa sebuah kereta elektrik. Di sinilah Zeekr 7X diuji, bukan untuk menunjuk gaya, tetapi untuk membuktikan sama ada teknologi mereka benar-benar berfungsi apabila dunia mula membeku.
Cuaca sejuk ekstrem bukan sekadar isu keselesaan, sebaliknya ia adalah musuh semula jadi EV. Reaksi kimia dalam bateri akan menjadi perlahan, rintangan dalaman meningkat, jarak pemanduan merosot, sistem brek regeneratif boleh menjadi tidak konsisten, dan proses pengecasan pula bermasalah untuk menerima kuasa tinggi.

Kalau sebuah EV boleh hidup normal di Harbin, secara logiknya ia akan jadi jauh lebih senang hidup di Malaysia yang suhunya lebih sekata sepanjang tahun,dan inilah sebab utama kenapa ujian ini penting.
Dari segi fizikal, Zeekr 7X berada dalam saiz SUV sederhana yang nampak praktikal tanpa terlalu agresif. Dengan panjang sekitar 4,787 mm dan lebar 1,930 mm, reka bentuk 2 kotak tradisional ia memberi fokus kepada ruang kabin dan kestabilan berbanding dengan gaya.
Jarak kelegaan permukaan jalan yang mencapai 190 mm sudah cukup tinggi untuk jalan biasa, tetapi bagi varian yang lengkap dengan suspensi udara, ketinggian boleh dinaikkan sehingga sekitar 230 mm. Ciri ini sangat berguna apabila berdepan jalan dengan timbunan salji, permukaan ais yang tidak rata, atau permukaan jalan licin yang sukar dijangka.

Apa yang buat Zeekr 7X benar-benar menarik di atas kertas ialah trenkuasanya. Ia dibina di atas platform 800V digabungkan dengan sistem AWD, bateri berkapasiti 100 kWh dari jenis NMC, menghasilkan output sehingga 646 PS dan 710 Nm tork.
Ini bukan angka kosmetik kerana dalam cuaca sejuk, kuasa dan tork selalunya “ditahan” oleh sistem untuk melindungi bateri, jadi apa yang diuji di Harbin ialah sejauh mana Zeekr boleh mengekalkan prestasi tanpa mengorbankan ketahanan.
Keupayaan pengecasan DC sehingga 450 kW dengan klaim 10–80% sekitar 16 minit juga diuji dalam keadaan suhu rendah kerana angka pantas di atas kertas selalunya jatuh bila bateri terlalu sejuk.
Untuk ruangan kabin Zeekr jelas faham bahawa pemanasan bukan sekadar untuk keselesaan, tetapi juga untuk kecekapan. Sistem pam haba (heat pump) datang sebagai ciri standard dan direka untuk beroperasi sehingga sekitar -40°C.

Ini bermakna kabin boleh dipanaskan tanpa menyedut terlalu banyak tenaga dari bateri, sesuatu yang sangat kritikal bila setiap kilometer jarak pemanduan menjadi mahal dalam cuaca sejuk. Sebaliknya kabin dipanaskan dengan haba yang terhasil daripada operasi bateri.
Tambahan pula, konsep “Golden Brick Battery” digunakan untuk mengurangkan rintangan dalaman bateri, membantu ia bekerja dengan lebih stabil walaupun suhu menjunam. Dalam pemanduan musim sejuk sebenar, perkara seperti stereng, cengkaman tayar, kawalan AWD dan sistem traction control menjadi jauh lebih penting daripada pecutan 0–100 km/j.
Di sinilah karakter Zeekr 7X mula terserlah. Stereng perlu memberi maklum balas yang yakin walaupun permukaan licin, sistem AWD perlu mengagihkan kuasa dengan pantas, dan pemanas kabin serta pemanas tempat duduk dan stereng bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan asas. Semua elemen ini diuji secara berterusan sepanjang kami memandu uji di Harbin.

Bila dibawa ke laluan yang lebih mencabar seperti meredahsalji tebal, jalan tidak berturap, dan permukaan yang hampir menyerupai off-road musim sejuk 7X dengankombinasi AWD, mod pemanduan salji, suspensi udara dan sistem kawalan cengkaman menjadi penentu sama ada SUV ini sekadar EV bandar atau benar-benar serba boleh.
Dalam konteks ini, Zeekr 7X jelas bukan sekadar SUV yang bergaya, tetapi gagah meredah halangan dengan selamba. Apa yang menarik, ujian ekstrem seperti ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pasaran di negara khatulistiwa seperti Malaysia.
Jika Zeekr 7X boleh berfungsi dengan stabil dalam suhu beku Harbin, ia memberi gambaran bahawa di iklim tropika yang berhadapan dengan cuaca panas, hujan lebat, kesesakan trafik dengan cabaran teknikalnya jauh lebih ringan. Dan inilah yang membuatkan ramai mula menoleh bukan sahaja kepada 7X, tetapi juga menunggu apakah model seteresnya yang akan dibawa oleh Zeekr ke Malaysia

Dengan prestasi dan teknologi yang ditunjukkan oleh Zeekr 7X dalam cuaca paling kejam, tidak hairan jika perhatian kini beralih kepada Zeekr 9X. Jika DNA yang sama dibawa ke model flagship itu, pelancarannya di Malaysia bakal jadi sesuatu yang dinanti, bukan sekadar oleh peminat EV, tetapi juga oleh mereka yang selama ini skeptikal terhadap kemampuan EV dalam keadaan sebenar.
Untuk melihat sendiri bagaimana Zeekr 7X, 7GT dan 9X diuji dalam salji Harbin yang mencabar, pemanduan musim sejuk hingga ke off-road bersalji nantikan video pandu uji penuh ada di YouTube. Ini bukan cerita atas kertas, ini ujian dunia sebenar.

