
JAECOO 6 EV DIPERKENALKAN DI THAILAND – JANA 274HP, TAWAR JARAK GERAK 470KM
Industri kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat perhatian di Thailand apabila JAECOO 6 EV telah diperkenalkan di negara tersebut pada hari ini.
JAECOO 6 EV akan menjadi nama yang digunakan di pasaran Thailand, manakala dalam pasaran luar negara, ia dikenali sebagai iCAR03.
Dimensi kenderaan yang sesuai menjadikannya pilihan sesuai untuk penggunaan harian, dengan panjang 4,406mm, lebar 1,910mm, tinggi 1,715mm dengan jarak roda 2,715mm memberikan ruang cukup selesa kepada penumpang dan muatan.

Di bahagian dalam, ia hadir dengan instrument LCD penuh dan skrin sentuh bersaiz besar bagi infotainment selain, tampil mewah menerusi penggunaan upholsteri kulit atau plastik, kemasan logam, memberikan keseluruhan bahagian kabin rupa premium serta sporty.
Antara ciri utama JAECOO 6 EV termasuk prestasi luar biasa dengan penggunaan motor elektrik berkembar dan sistem pemanduan empat roda (4WD).
Motor gandar hadapan berupaya menghasilkan 93hp + 165Nm, dan motor gandar belakang pula menghaburkan 181hp + 220Nm, memberikan kuasa gabungan 274hp dan 385Nm tork.

Menerusi pek bateri berkapasiti 69.8kWh, ia menawarkan jarak gerak sehingga 470km mengikut standard NEDC.
Dalam aspek pengecasan, JAECOO 6 EV menyokong pelbagai jenis pengecas elektrik, termasuk Charger Type 2 / CCS Combo, serta pengecasan pantas DC hingga 85kW.
Dengan kemampuan untuk mengisi semula bateri dari 30 peratus hingga 80 peratus dalam masa hanya 30 minit, pengguna boleh menikmati pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan efisien.
Chery Thailand sedang bersiap sedia untuk melancarkan JAECOO 6 EV (iCAR03) di Thailand pada tahun ini dan di China, ia dijual pada harga sekitar RMB 109,800 (RM72,259).
GALERI:

























