Buletin

BIMS 2024: SUV EV HONDA e:N1 KINI MUNCUL DI THAILAND – TAWAR JARAK GERAK 420KM, JANA 201HP

Sempena acara Bangkok International Motor Show 2024, Honda secara rasmi memperkenalkan SUV elektriknya, e:N1, di pasaran Thailand.

Unit e:N1 pertama dengan alat ganti tempatan dikeluarkan dari barisan pengeluaran di kilang Honda di Taman Perindustrian Rojana di Prachinburi, seperti yang disahkan oleh Honda Automobile (Thailand) Co Ltd sebelum ini.

Pengeluaran ini juga meletakkan Honda sebagai pengeluar kereta Jepun pertama yang mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di Thailand.

Menurutnya, Honda e:N1 akan memberi pembeli kereta Thai pilihan tambahan, di samping kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman dan sistem e:HEV hibrid penuh.

Honda e:N1 menggunakan badan HR-V, tetapi platform telah diubah suai dengan nama e:Architecture F.

e:Architecture F menjadikan kereta lebih tegar, mempunyai pusat graviti yang rendah, mempunyai keluli tegangan tinggi, kedudukan bateri sekata, dan perkara paling penting adalah untuk mengekalkan keseronokan memandu.

Dari segi penggayaan, penampilannya serupa dengan HR-V, tetapi ia sangat bercirikan kereta elektrik seperti tanpa gril dan membenamkan port pengecas dengan model CCS2.

Selain itu, ciri-cirinya juga seakan Honda HR-V, di mana ia dilengkapi skrin infotainment jenis sesentuh berukuran 15.1-inci yang disokong oleh pelbagai fungsi seperti radio, sistem navigasi, sambungan telefon pintar melalui Apple CarPlay dan Android Auto.

Perincian lain termasuklah skrin meter kluster digital sepenuhnya 10.25-inci, ruang yang selesa dan terdapat ruang bagasi berkapasiti maksimum 1,176 liter.

Bagi kuasa pula, Honda e:N1 dibekalkan dengan bateri litium-ion 68.8 kWj bersama kemudahan pengecasan pantas, hanya mengambil masa 45 minit untuk mengecas daripada 10 peratus kepada 80 peratus.

Dijana oleh motor elektrik di roda hadapan, ia berupaya menghasilkan 201hp dan 310Nm tork, menawarkan jarak gerak 412km serta mempunyai daya pecutan hingga 100 km/j dalam masa 7 saat dengan had kelajuan maksimum 160 km/j.

GALERI:

Google ads
Back to top button