JENAMA CHINA DOMINASI PASARAN EV THAILAND – FAKTOR RANTAIAN BEKALAN, KOS LOGISTIK
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China mula meluaskan pasarannya apabila kini menjadikan Thailand sebagai pasaran berpotensi besar, lebih-lebih lagi kerajaan Thailand memberi insentif untuk pembelian kenderaan elektrik.
Pada Februari lalu, Thailand mengeluarkan senarai EV yang menunjukkan pengeluar EV China mendominasi pasaran negara itu, meninggalkan jenama dari Jepun. Melalui data berkenaan, hanya Tesla, jenama bukan China, berada dalam senarai tiga teratas.
Mengikut pecahan model, BYD mendahului menerusi model Atto 3 (2,068 unit), Neta V Hozon (1,254 unit), dan Model Y mencatat hasil jualan 534 unit.
DOMINASI AWAL JENAMA CHINA
Salah satu pengeluar kereta China terawal berjaya dalam pasaran Thailand ialah SAIC di mana jenama MG secara rasmi memasuki pasaran Thailand pada tahun 2014. Data memaparkan 31,005 model MG telah dijual di Thailand, meletakkannya di kalangan sepuluh jenama kereta teratas di Thailand.
Beberapa tahun kemudian, Great Wall Motor memasuki pasaran Thailand pada 2021 dengan model ORA yang begitu popular sehingga ramai peniaga di Bangkok bergelut untuk memenuhi permintaan. Dari Januari hingga September 2022, Great Wall Motor menjual lebih 8,000 EV di Thailand, menjadikannya sebagai jenama kenderaan tenaga baharu mencatat jumlah jualan tertinggi.
Selain ORA, Great Wall Motor turut memperkenalkan beberapa model di pasaran Thailand, termasuk Haval H6 HEV dan JOLION HEV.
PENGELUAR EV CHINA MENDAPAT FAEDAH DI THAILAND
Sebuah institusi berpangkalan di China yang mengkhusus dalam penyelidikan EV, EV100 PLUS, menyimpulkan bahawa pengeluar kereta China sangat menghargai pasaran besar Thailand kerana terdapat dasar begitu menggalakkan pertumbuhan EV.
Pasaran kereta Thailand bergantung pada jenama dari negara lain serta kebanyakan kereta ini dihasilkan oleh pengeluar kereta asing melalui kilang tempatan. Untuk rekod, Thailand ialah pengeksport kereta ketiga terbesar di Asia, kedua selepas Jepun dan Korea Selatan.
Menurut statistik dari Persekutuan Industri Thai, daripada 1.88 juta model dihasilkan di Thailand pada 2022, 840,000 unit telah dijual di dalam negara manakala 1 juta unit lagi bertujuan untuk dieksport.
Selain itu, Pusat Penyelidikan Vision Thai meramalkan bahawa saiz pasaran keseluruhan untuk BEV berkemungkinan mencapai 50,000 model menjelang 2023, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 270 peratus berbanding 13,454 model pada 2022.
Selain insentif, rantaian bekalan di negara itu juga memainkan peranan besar termasuk faktor kos berkaitan logistik, lebih mesra ekonomi berbanding negara lain. Bahasa mudahnya, Thailand hanya bergantung pada sumber pembuatan sendiri sekali gus dapat mempercepatkan pengeluaran.
Dengan segala kelebihan ada pada Thailand, tidak hairanlah jenama EV dari China mulai menguasai jalan raya di negara Gajah Putih, bahkan kerajaan Thailand juga yakin bahawa matlamat neutral karbon mampu dilaksanakan menjelang 2030.
- BACA: MG MAXUS 9 EV MENDARAT DI THAILAND – DUA VARIAN, 245HP, JARAK GERAK 540KM, HARGA BERMULA RM331K
- BACA: HOZON NEW ENERGY AUTOMOBILE LABUR RM1.3 BILION – BINA KEMUDAHAN DI THAILAND
- BACA: NETA BUKA KILANG DI THAILAND – FOKUS IMPORT DAN EKSPORT EV KE NEGARA ASEAN
- BACA: INDUSTRI AUTOMOTIF THAILAND JADI TUMPUAN JENAMA CHINA, BERSAING SENGIT KETEPIKAN TOYOTA