Buletin

KAMI TIDAK PERNAH BUAT KEPUTUSAN UNTUK HENTIKAN SKYLINE – NISSAN

Baru-baru ini timbul laporan bahawa Nissan akan menghentikan produksi Skyline. Berita itu nyata meresahkan peminat Nissan walaupun bukan ramai pun yang berminat untuk membeli sedan tersebut. 

Bukan setakat Skyline, model Fuga dan Cima juga didakwa bakal dihentikan pengeluarannya. Ramai berpendapat, perkembangan itu tidaklah terlalu mengejutkan kerana minat pengguna kini sudah beralih kepada SUV. Jadi, kenapa hendak hasilkan produk yang orang tidak mahu beli? 

Sumber juga menyatakan langkah itu diambil kerana  Nissan mahu menumpukan sumbernya untuk membangunkan lebih banyak model SUV dan kenderaan elektrik. 

Terbaharu, seorang eksekutif kanan Nissan menafikan laporan berkenaan. 

Pada acara pelancaran Nissan Note Aura di Tokyo, Naib Presiden Eksekutif Nissan, Asako Hoshino berkata, “Hujung minggu lalu, Nikkei Shimbun ada menyatakan tentang penghentian pembangunan model Skyline. Kami tidak pernah membuat keputusan itu. Nissan tidak akan meninggalkan Skyline.” 

Kenyataan itu jelas membetulkan kesilapan laporan yang dibuat oleh media. Nissan mengambil pendekatan ini untuk mengelakkan spekulasi tersebut daripada menjadi tidak terkawal. 

Memulakan hayatnya sebagai Prince, Skyline sudah melangkaui 13 generasi dan terus menjadi idaman para peminatnya di seluruh dunia. 

Google ads
Back to top button