NISSAN SKYLINE 2020 JDM, SEDAN WARISAN LEGENDA
Nissan Skyline mempunyai sejarah menarik dan merupakan model warisan yang sudah berusia puluhan tahun. Model ini bermula dengan Prince Skyline yang diperkenalkan pada 24 April 1957.
Selepas itu baru lah model empat pintu dan dua pintu serta GT-R diperkenalkan. Pada hari ini Skyline dan GT-R dipisahkan dengan dua model yang sangat berbeza.
Skyline kembali kepada model generasi pertama yang tampil mewah.
Skyline di pasaran sekarang ialah dari generasi ke-13 (V37) dan dikeluarkan pada tahun 2014. Sesuai dengan cirinya yang mewah, Skyline turut dijenamakan semula sebagai Infiniti Q50.
Beberapa tahun di pasaran, Nissan mengumumkan penawaran Skyline yang dipertingkat dan mula ditawarkan pada 14 September untuk pasaran Jepun.
Perubahan yang dibuat untuk tahun 2020 tidak banyak memandangkan Nissan baru sahaja mempertingkatkannya pada September 2019.
Skyline mempunyai dua jenis iaitu 3.5 liter V6 (VQ35HR-HM34) berkuasa 306 PS dan tork 350 Nm. Enjin itu dipadan bersama motor elektrik HM34 berkuasa 50 kW.
Varian hibrid tersebut terdiri dari Skyline GT Type SP, GT Type P, dan GT. Kesemuanya mempunyai pilihan pacuan 2WD atau 4WD.
Satu lagi jenis enjin ialah 3.0 liter V6 Turbo Berkembar (VR30DDTT) berkuasa 304 PS dan tork 400 Nm.
Varian turbo terdiri dari Skyline GT Type SP, GT Type P, GT dan 400R yang tampil lebih garang dengan angkup brek warna merah, padel penukar gear dan beberapa ciri eksklusif lain.
Skyline 400R sebenarnya lebih berkuasa dengan output 405 PS dan tork 475 Nm juga dari enjin VR30DDTT.
Tidak seperti hibrid, varian turbo hanya mempunyai pacuan tunggal 2WD.
Transmisi untuk kedua-dua nadi hibrid dan turbo menggunakan tujuh kelajuan automatik dengan mod manual (7M-ATx).
Dari segi reka bentuk, Skyline tampil sebagai sedan besar dengan ukuran panjang 4,810 mm, tinggi 1,440 mm dan lebar 1,820 mm.
Walaupun membawa gayaan eksekutif, para pereka Nissan cuba merapatkan Skyline dengan GT-R R35 melalui reka bentuk gril dan bampar depan selain lampu utama.
Bahagian belakang pula jelas dengan nyalaan dua lampu bulat yang merupakan identiti Skyline sejak sekian lama.
Dari segi keselamatan, pengguna di Jepun ditawarkan dengan teknologi bantuan pemanduan ProPilot 2.0.
Berkenaan harga, Nissan Skyline dijual dari JPY 4,353,800 (RM171,071) untuk varian GT V6 Turbo sehingga JPY 6,444,900 (RM253,235) bagi varian GT Type SP Hybrid 4WD.
BACA: PADA 2001 NISSAN SKYLINE V35 DIPERKENAL, SEDAN KEMBALI!
BACA: NISSAN SKYLINE 2000GT-R 1969, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU
BACA: INI AYAHANDA GT-R50, NISSAN SKYLINE 2000 GT-R 1972
Foto: Nissan