Buletin

KANTOI TRAK TUNDA BAWA ALPHARD PENUH DADAH BERNILAI RM23.75 JUTA

Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket dadah menggunakan trak tunda menunda kenderaan mewah, Toyota Alphard dengan muatan dadah bernilai lebih RM23.75 juta.

Trak tunda dinaiki dua beranak berusia 27 dan 58 tahun berasal dari Kelantan itu ditahan di Kilometer 7, Jalan Raya Timur Barat, dekat Gerik, Perak kira-kira jam 6 petang, Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan mewah itu, polis menjumpai 447 dadah jenis ketamin dan methamphetamine dianggarkan seberat 448 kilogram di dalam bungkusan teh Cina.

Jumlah dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 2.1 juta penagih.

“Melalui risikan, dadah tersebut dipercayai bukan sahaja untuk penagih-penagih tempatan malah akan dihantar ke negara ketiga seperti Filipina, Indonesia, Korea Selatan dan Australia.

“Rampasan tersebut, sekurang-kurangnya dapat memutuskan bekalan bagi penggunaan tempatan dan luar negara.

“Selain itu, turut dirampas ialah trak penunda dan kereta Alphard berwarna putih dan wang daripada suspek sejumlah RM19,672,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Razarudin menambah siasatan awal mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui siapa ‘kingpin’ sindiket berkenaan yang dipercayai rakyat tempatan. –awani

Google ads
Back to top button