
PEREKA SLOGAN DAS AUTO DIUSIR DARI CHINA KERANA AMBIL DADAH DI THAILAND
Kalau anda rasa situasi pekerjaan anda semakin teruk bayangkan pula hari yang terpaksa ditempuhi oleh eksekutif kanan VW China, Jochen Sengpiehl. Beliau baharu saja diusir keluar dari China selepas didapati positif mengambil dadah sebaik kembali dari Thailand.

Ujian yang dijalankan menunjukkan beliau telah mengambil kanabis dan kokain menyebabkan beliau ditahan di China selama 10 hari. Undang-undang dadah China adalah sangat ketat dan beliau diusir pulang ke Jerman selepas bertugas di China selama dua tahun.
Macam mana je boleh kena? Sumber menyatakan pihak berkuasa China menerima maklumat daripada polis Thai. Beliau dan keluarga beliau bagaimanapun mendapat bantuan daripada kerajaan Jerman untuk urusan keluar dari China.
Mengikut undang-undang China, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menahan seseorang yang disyaki mengambil dadah selama 15 hari walaupun kesalahan tersebut dilakukan di luar negara.

VW Group China dan kedutaan Jerman di sana cuba untuk membebaskan Sengpiehl dari tuduhan tersebut tetapi gagal kerana arahan pengusiran tersebut datangnya daripada presiden China, Xi Jinping sendiri. Beliau turut dikenakan sekatan daripada kembali memasuki negara China sampai bila-bila.
Mungkin ramai yang tak biasa dengar nama Sengpiehl tapi beliau ialah pereka slogan “Das Auto” yang cukup sinonim dengan VW. Tidak dinafikan yang beliau ialah seorang eksekutif pemasaran yang berbakat.
Moralnya kat sini ialah jangan ambil dadah walau untuk tujuan apa sekalipun. Kalau untuk tujuan perubatan pun mestilah dengan kebenaran doktor bertauliah. Mana boleh ambil suka-suka.
Kredit carscoop.com