
DITAHAN KERANA MEMANDU LAJU, MABUK, BAWA DADAH DAN SEEKOR MONYET – HEBAT
Sebagai peronda lebuh raya, rutin harian biasanya melibatkan penahanan pesalah trafik, pemandu mabuk, kemalangan dan sekali sekala mungkin melibatkan kejar mengejar dengan penjenayah. Cuma kadang kala tu adalah juga kes yang luar biasa contohnya melibatkan kesalahan halaju, mabuk, dadah dan haiwan eksotik dalam satu tangkapan.

Insiden berlaku bila Peronda Lebuh Raya California (CHP) menahan sebuah Rolls-Royce Ghost pada 30 Disember lalu. Ia dipandu melebihi halaju sekaligus menyebabkan kereta tersebut ditahan.
Pemeriksaan mendapat pemandunya memandu di bawah pengaruh alkohol. Beliau segera ditahan dan pemeriksaan pada kereta mewah tersebut mendapati sejumlah besar kanabis yang mencukupi untuk tuduhan mengedar dadah.

Setakat berita dadah dan mabuk tu biasa sangat cuma kali ini terdapat seorang penumpang istimewa yang berupa seekor anak monyet labah-labah yang berusia hampir sebulan. Bukan masalah besar kalau di India tapi pemilikan primat adalah dilarang di California.
Ini menyebabkan pemandu Rolls-Royce itu terpaksa meringkuk di dalam penjara Madera County atas tuduhan halaju, memandu dalam keadaan mabuk, pengedaran dadah dan pemilikan haiwan eksotik secara tidak sah.
Berbeza dengan nasib pemandu Rolls-Royce, anak monyet tersebut dihantar ke bahagian kawalan haiwan untuk rawatan dan penjagaan. Kemungkinan besar ia akan menetap di rumah baru dalam kawasan Fresno Chaffee Zoo.

