
KENAPA KERETA DI HARBIN BERTUTUP BAHAGIAN GRILL DEPAN?
Jika anda berada di Harbin, salah satu perkara yang mungkin mencuri perhatian ialah banyak kereta yang dipandu di atasjalan raya yang menutup bahagian grill depan. Ada yang menggunakan penutup kain khas, ada yang berzip, dan ada juga yang kelihatan seperti topeng dipasang pada bampar.
Bagi mereka yang biasa dengan cuaca tropika seperti di Malaysia, situasi ini mungkin kelihatan pelik. Namun di kawasan bersuhu ekstrem seperti Harbin dengan suhu kadangkala boleh mencecah -40 darjah Celcius, penutup grill ini bukan sekadar aksesori tetapi ia adalah satu keperluan.
Berbeza dengan Malaysia di mana pemandu selalu runsing denganmasalah enjin terlalu panas, pemandu di Harbin pula adalah sebaliknya. Dengan suhu musim sejuk purata yang boleh mencecah antara -20°C hingga -30°C, enjin kenderaan sebenarnya menghadapi risiko menjadi terlalu sejuk.
Apabila jerirji depan dibiarkan terbuka sepenuhnya, udara sejuk yang melampau akan terus masuk ke ruang enjin dan menyebabkan enjin sukar mencapai suhu operasi yang ideal. Keadaan ini dikenali sebagai overcooling, iaitu situasi di mana enjin menjadi terlalu sejuk untuk beroperasi secara efisien.
Masalah ini memberi kesan kepada prestasi dan penggunaan bahan api. Enjin yang lambat panas memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai kecekapan optimum, sekali gus boleh meningkatkan penggunaan petrol atau diesel.
Bagi kereta diesel, kesannya lebih ketara kerana enjin diesel sememangnya mengambil masa lebih lama untuk mencapai suhu optimum berbanding dengan enjin petrol. Inilah sebabnya mengapa kenderaan diesel seperti SUV lama, lori dan kenderaan utiliti hampir pasti menggunakan penutup grill ketika musim sejuk di kawasan bersuhu ekstrem seperti di Harbin, China.
Penutup grill ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan sistem pemanas kabin berfungsi dengan lebih baik. Sistem pemanas kabin bergantung kepada haba daripada enjin, dan jika enjin terlalu sejuk, udara panas yang dihasilkan akan mengambil masa yang lama untuk memanaskan udara di dalam kabin.
Dengan mengurangkan aliran udara sejuk melalui grill, enjin dapat mengekalkan suhu dengan lebih stabil, sekali gus membolehkan kabin menjadi panas dengan lebih cepat. Bagi pemandu dan penumpang, ini memberi perbezaan besar dari segi keselesaan, terutamanya ketika perjalanan awal pagi atau jarak pendek.
Menariknya, amalan menutup grill ini bukan terhad kepada kereta petrol dan diesel sahaja. Kereta hibrid dan kenderaan elektrik (EV) juga terkesan dengan suhu sejuk melampau. Bagi kenderaan hibrid, enjin yang jarang sepanjang masa menyukarkan enjin haba dan mencapai suhu optimum. Manakala bagi EV, bateri lithium-ion sangat sensitif terhadap suhu rendah.
Dalam keadaan terlalu sejuk, jarak pemanduan boleh berkurang dengan ketara dan proses pengecasan menjadi lebih perlahan. Penutup grill membantu mengurangkan kehilangan haba dan menyokong sistem pengurusan suhu bateri agar berfungsi dengan lebih efisien.
Perlu difahami bahawa penutup grill musim sejuk ini bukan dipasang secara sembarangan. Kebanyakannya direka dengan zip, flap atau bukaan tertentu yang boleh dilaraskan mengikut keadaan. Jika kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi atau suhu persekitaran meningkat sedikit, penutup ini boleh dibuka sebahagian bagi memastikan aliran udara mencukupi dan mengelakkan risiko enjin terlalu panas.
Walaupun banyak kereta moden dilengkapi sistem active grille, dalam suhu ekstrem seperti di Harbin, sistem mekanikal tambahan ini masih relevan. Ia membantu melindungi enjin dan bateri, meningkatkan kecekapan operasi, serta memastikan keselesaan pemandu dan penumpang.



