Artikel Pilihan

KENAPA KERETA HIBRID TERPAKAI JADI MURAH? SALAH KE KALAU BELI?

Minggu lepas, salah seorang kawan penulis mengajukan soalan ini kepada penulis ketika kami sedang bersembang. Kawan penulis mengatakan harga pasaran bagi kereta hibrid terpakai sangat murah dan mencari jawapan rasional disebalik harga yang terlalu murah tersebut. Adakah risiko membeli kereta hibrid terpakai sama sperti kahwin dua senyap-senyap?

Kami cuba bagi jawapan berdasarkan pengalaman kami, kenapa kereta hibrid terpakai menjadi murah, berapa harga penggantian unit bateri dan apakah komponen lain yang perlu diperiksa oleh bakal pembeli.

Dalam perbincangan ini antara model-model yang menjadi sebutan ialah Honda CRZ, Honda Insight, Honda Jazz, Honda Civic, Toyota Camry, Toyota Prius, Toyota Prius C dan Nissan Serena Hibrid

1. Bagaimana kereta hibrid berfungsi? – sebenarnya kami telah ulas panjang lebar di SINI dan jika kami akan ulas secara ringkas. Kereta hibrid merupakan kereta yang menggunakan 2 punca kuasa untuk menggerakkan kereta iaitu ia menggabungkan enjin pembakaran dalam (petrol atau disel dengan sistem bateri dan juga motor.

Fungsi motor ialah untuk “menangkap semula” tenaga kinetik yang terbuang apabila kereta hibrid mulai membrek daripada menjadi tenaga haba. Ia bertindak seperti dinamo, mengecas bateri hibrid apabila kereta menuruni bukit atau membrek

2. Bagus atau tak sistem hibrid ini? – sebenarnya bagus sebab ia mengelakkan pembaziran tenaga berlaku daripada terbuang menjadi tenaga haba sewaktu membrek. Tenaga elektrik yang terhasil akan digunakan untuk membantu pecutan enjin, menghidupkan sistem penyaman udara, serta membantu operasi sistem Start/Stop

Paling bagus jika kereta hibrid digunakan dalam bandar dengan banyak situasi kesesakan jalan serta dengan situasi brek dan berjalan semula. Jika memandu kereta hibrid bagi perjalanan jarak jauh sahaja, maka sistem hibrid (bateri, motor dan unit converter) akan menjadi beban kepada kereta. Tak banyak penjimatan bahan api boleh dihasilkan

3. Berapa lama bateri hibrid ini boleh bertahan? – ketika dilancarkan kebanyakan kereta hibrid datang dengan jaminan pengeluar berkenaan ketahanan bateri yang diberi sehingga 5 tahun, perbatuan 150,000km atau 5 tahun tanpa jarak perjalanan yang terhad. Asalkan alam tempoh jaminan, sebarang kerosakan pada bateri atau sistem hibrid akan diganti oleh pengeluar

Tapi komponen hibrid bukanlah mudah rosak yang disangka oleh ramai orang. Jika anda ke Singapura, anda akan terkejut kerana Toyota Prius dan beberapa kereta hibrid di sana dijadikan teksi. Malah UMW Toyota memberi jaminan polisi sehingga 8 tahun untuk modelnya tanpa jarak perbatuan

4. Berapa kos penggantian bateri? Sama seperti peralatan lain, bateri sistem hibrid yang dihasilkan dari logam nikel metal hidrid atau ion lithium pasti akan rosak juga satu hari nanti. Sekiranya anda perlu menggantikan bateri maka harganya ialah sekitar RM 3980 (Jazz, Insight dan CRZ model lama), manakala RM 5480 bagi CRZ facelift (lithium ion) dan Civic Hibrid.

Bagi model Toyota Prius C ialah RM 6010, Toyota Prius dan Lexus CT200h RM 6680, dan paling mahal ialah Toyota Camry Hybrid dengan harga RM 8700. Ini merupakan harga yang ditawarkan beberapa tahun lepas dan sila semak semula dengan pusat servis yang sah untuk kepastian. Bateri ion lithium mudah terbakar, jangan memandai untuk tukar sendiri bateri ini.

Bagi model terbaru seperti Jazz atau City i-DCD harga baterinya ialah sekitar RM 5513. Bagi Hyundai Ioniq pula kos penggantiannya ialah sekitar RM 9800. Penulis pernah bertanya kepada pusat servis Nissan, kos penggantian bateri hibrid Serena adalah sekitar RM 600 sahaja

5. Kenapa bateri hibrid rosak? – bateri sangat sensitif dengan suhu, ia tidak boleh terlalu sejuk dan terlalu panas. Jika anda biasa menaiki kereta hibrid, anda akan dapati terdapat satu liang udara yang berada di belakang kusyen belakang yang bertujuan menyedut udara sejuk kabin bagi menyejukkan bateri. Untuk penjagaan bateri, pastikan lubang angin ini tidak terhalang dengan apa-apa objek

6. Apa jadi kalau bateri hibrid rosak, kereta masih boleh dipandu? Susah nak jawab sebenanrnya dan ia bergantung dari satu model ke satu model. Sebelum bateri rosak, ia akan mengalami kemerosotan dari segi prestasi yang menyebabkan prestasi kereta merosot. Pecutan yang dihasilkan tidak kuat seperti dulu dan kereta cepat kehilangan kuasa ketika menaiki bukit

Anda boleh memantau keadaan bateri pada meter yang diberikan. Sewaktu masih baru, selamba saja tekan pedal minyak. Namun lepas beberapa tahun anda akan dapati baru panjat separuh bukit bateri dah habis. Tinggal la enjin kecil dengan kitaran Atkinson untuk membawa anda ke atas. Mengah beb nak naik dengan 5 penumpang dan barang jika bergantung pada enjin Atkinson sahaja

Dalam sesetengah keadaan, bateri yang tak berapa OK akan memaksa enjin untuk terus mengecasnya secara berterusan. Jadi prestasi kereta akan jatuh dan kurang seronok dipandu. Sesetengah model hibrid pula, sistem bateri dan motor bertindak sebagai pengecas kepada bateri 12Volt. Jika bateri hibrid anda rosak, ia tidak boleh mengecas bateri biasa.

Kalau bateri tidak boleh dicaj, maka enjin tidak dapat beroperasi. Kesan kerosakan bateri ini perlu dilihat dari satu model ke model yang lain. Ada model yang masih boleh dipandu dan ada yang akan tersadai terus.

7. Apa lagi komponen lain yang perlu dirisaukan? Sesetengah model hibrid menggunakan pam minyak enjin elektrik, pam air elektrik serta pemampat gas penyaman udara yang menggunakan elektrik untuk menyejukkan kereta. Teknologi ini bagus untuk penjimatan bahan api, tapi kalau rosak memang londeh seluar nak beli alat ganti.

Sebagai contoh, cuba anda semak harga pemampat penyaman udara jenis elektrik yang digunakan oleh model hibrid dan bandingkan dengan pemampat penyaman udara bagi kereta biasa. Bagi model seperti Insight atau Jazz, pastikan anda tahu kos penukaran 8 unit spark plug sebelum membuat keputusan

8. Berapa harga kereta hibrid terpakai sekarang? Anda boleh beli Honda Insight IMA dengan harga RM 21,000, Jazz Hibrid IMA RM 30,000, Honda CRZ 2012 RM 42,000, dan Honda Civic Hibrid RM 36,000. Bagi model Toyota, Prius C boleh dicari dengan harga sekitar RM 20,000, Toyota Prius RM 32,000, dan Toyota Camry Hibrid RM 75,000

Bagi model Serena 2015 yang menggunakan hibrid ringkas, harganya masih tinggi iaitu sekitar RM 70,000. Sistem hibrid yang ringkas serta kos bateri yang murah berjaya mengekalkan harga kereta ini

9. Adakah hibrid ini benar-benar jimat? Bagi model seperti Jazz i-DCD atau City i-DCD yang datang dengan sistem hibrid yang digabungkan dengan transmisi klac berkembar, ia mampu mencatatkan bacaan purata penggunaan petrol ialah sekitar 25km bagi setiap liter petrol.

Sebagai perbandingan penulis pernah mendapat bacaan 21km/liter petrol dengan menggunakan City biasa. Tapi anda harus kekal memandu dengan halaju purata 110km/j bagi perjalanan jarak jauh

Google ads
Back to top button