Artikel Pilihan

KENAPA KERETA MAHAL ADA SUSPENSI AKTIF? KENAPA TAK TUKAR SPRING?

Sistem suspensi adalah sistem yang agak komplek dalam kejuruteraan automotif. Nampak macam senang saja sebab ia ada spring, sambungan mekanikal yang disebut upper arm/ lower arm dan juga penyerap hentakan. Tapi sebenarnya sistem suspensi dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu sprung mass. Sprung mass merujuk kepada komponen kereta yang disokong oleh sistem spring suspensi

Unsprung mass pula merujuk pada komponen yang tidak disokong oleh suspensi seperti tayar. Sesetangah simulasi menggunaka semi unsprung mass yang merujuk kepada sambungan mekanikal suspensi. Disebabkan tayar diisi dengan angin dan melantun, tayar juga ada sprung mass dan unsprung mass tersendiri.

Anda boleh rujuk pada gambar dibawah bagaimana model matematik dibuat untuk menggambarkan pergerakan tayar dan juga suspensi ketika kereta melalui jalan tidak rata. Jangan bimbang kami tidak akan buat aktiviti kira-kira pada artikel ini, sebab tak semua orang suka mengira. Tapi inilah kaedah yang jurutera gunakan untuk menentukan ride & handling sesuatu kereta.

Ride & handling ini bagaikan kutub utara dan kutub selatan, yin dan yang atau positif dan negatif. Kalau kita fokuskan pada ride, kereta akan jadi selesa menyerap semua hentakan jalan dengan baik. Tapi prestasi di selekohnya ke longkang. Kalau kita tingkatkan handling, prestasi di selekoh akan bagus tapi keselesaan akan terjejas. Tulang rusuk anda boleh tertukar antara kiri dan kanan sewaktu melalui jalan garisan kuning

Dalam rumus spring ia diwakili F= K . x, di mana K mewakili pekali spring dan X ialah jarak pergerakan spring. K ini dipengaruhi oleh diameter gelung spring sendiri, ketebalan rod besi yang digunakan untuk menghasilkan spring, panjang spring dalam keadaan rehat dan bilangan gelung yang dihasilkan

Katakanlah anda bercadang untuk menukar spring asal kepada spring sport yang lebih pendek agar kereta anda kelihatan leboh rendah, atau dulu paling popular “kerat spring”. Maka anda telah membuat onar di bahagian suspensi kereta. Pergerakan sprung mass, unsprung mass dan semi unsprung mass akan berterabur. Mungkin anda sedap di selekoh, tapi keselesaan kereta akan terjejas

Kalau anda perasan, lepas tukar spring sebarang jalan yang tidak rata walaupun sedikit akan menjejaskan pergerakan kereta. Siapa suka kalau spring terlalu keras sehingga badan anda terhenjut-henjut walaupun tengah memandu di atas lebuhraya. Kalau lalu jalan biasa, dah macam naik rodeo atau menunggang kuda liar. Kesian kat anak bini anda.

Sebab sebarang perubahan pada spring atau penyerap hentakan, ia akan mengubah cara kereta bergerak (vehicle dynamics), yang boleh dibahagi kepada 3 bahagian. Pergerakan dari gandar depan ke belakang (squat) atau belakang ke depan (dive) yang dinamakan pitch, pergarakan dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri yang dinamakan roll atau pergerakan mengambil selekoh yang dinamakan yaw

Sebarang perubahan atau gangguan pada spring akan menyebabkan pergerakan pitch, roll dan yaw akan terjejas. Pergerakan inilah yang akan dirasai oleh pemandu dan juga penumpang. Sebab itulah kereta mahal seperti Honda Civic Type R datang dengan suspensi aktif dengan penyerap hentakan boleh laras.

Penyerap hentakan gas atau minyak berfungsi untuk menghentikan ayunan cesi yang dihasilkan selepas melalui jalan tidak rata. Kalau penyerap hentakan rosak, ayunan kereta akan menjadi seperti kapal. Boleh muntah dibuatnya. Penyerap hentakan ini boleh diubah dengan mengubah injap di dalamnya. Kalau nak lembut, injap dalam penyerap hentakan dibuka luas.

Kalau nak sport, injap ditutup sedikit yang memerlukan daya yang lebih besar diperlukan untuk melaluinya. Kalau Race, maka lebih banyak injap ditutup. Semua boleh dikawal secara elektronik dan sistem ini bukan murah tuan-tuan. Video penerangan sistem penyerap hentak aktif Honda Civic Type R adalah seperti di bawah

Jadi ada ke cara nak ubah ride & handling kereta tanpa ubah spring? Ada tuan-tuan. Kalau anda perasan, kebanyakan kereta moden hari ini walaupun sangat selesa, tapi prestasi di selekoh tidaklah hambar sangat. Masih boleh gigit lagi jalan asalkan tak terlalu agresif. Cara yang paling mudah pengeluar buat adalah dengan menghasilkan cesi yang lebih rigid, lebih keras dan meliuk ketika di selekoh.

Kalau anda perasan Honda City, ada satu bar yang dipasang di bahagian dalam bonet, antara bonet dan tempat penyandar belakang. Kalau Toyota Vios dan Myvi, anda akan perasan model baru dipasang dengan bar anti oleng di bahagian belakang dari kilang lagi. Semua ini bagi memberikan pengendalian yang lebih baik

Kalau pengendalian kereta anda teruk gila khinzir, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk memasang bar penstabil di bahagian depan dan bar anti oleng di bahagian belakang. Ia memberikan kelebihan yang lebih di selekoh. Tapi kalau anda pandu SUV, memang SUV ni dibuat tinggi dan agak mustahil untuk rendahkan pusat graviti kereta. SUV bukan dibuat untuk dikendalikan seperti kereta sport, walaupun nama dia Sport Utility Vehicle.

suspensio belakang Vios dengan Stabiliser

Kalau kereta anda berayun-ayun macam sampan, mungkin boleh kurangkan tekanan angin tayar yang dicadangkan oleh pengeluar. Cuba bereksperimen dengan mengurangkan 10,20,30kpa tekanan tayar di bahagian depan dan belakang. Anda akan perasan, bukan sahaja kurang membuai, malah prestasi kereta di jalan lurus lebih stabil.

Cara terakhir ialah tukar kepada tayar yang lebih berkualiti, yang jenis melekap atas jalan. Kebanyakan tayar original OEM yang dipasang di kilang memang tayar ECO atau tayar entry level. Lepas pakai setahun entah apa-apa rasa dia. Jadi tukar la tayar yang elok sikit yang ada jenama seperti Micelup, Contimental, TayarBagus, Hang Cangkuk, Jambatan Batu. Anda akan perasang pengendalian kereta akan berubah bergantung pada spesifikasi tayar

Kalau nak lembut, cari la tayar yang menekankan bunyi senyap dan lembut. Kalau nak prestasi tinggi, cari la tayar sport yang melekat bunga tayar di selekoh. Ikut pada poket masing-masing la. Rumusannya, bagi abam kalau nak tukar spring terpulang la, sebab kalau terhenjut henjut bila berjalan itu masalah anda, bukan masalah kami.

Kalau nak tukar sebab nak masuk litar, itu berbaloi sangat. Kalau setakat nak ikut ikut orang, merana la poket dan badan. Kereta rendah memang nampak lawa tapi kalau tak sedap bawak pun tak best jugak.

Google ads
Back to top button