Motosikal

GUNNER 50, FUN BIKE ANEH DARI THAILAND. RM8,900 SEUNIT, TOP SPEED 50KM/J SAHAJA

Firma motosikal, Pheonix Engineering yang berpangkalan di Thailand baru-baru ini memperkenalkan sebuah model fun bike.

Dikenali sebagai Gunner 50, ia nyata tampil dengan reka bentuk aneh. Sehinggakan ramai yang menyatakan ia seperti sebatang lampu suluh, tetapi dilengkapi dengan roda.

Lebih menarik, model yang mungkin mengambil inspirasi reka bentuk Honda DAX itu ditawarkan pada harga sekitar RM8,900 seunit dan kini dikatakan dieksport ke Jepun.

Tampil dengan gayaan bazooka, tangki berkapasiti 4.5 liter disembunyikan pada bahagian badan. Setiap hujungnya dipasang dengan lampu utama dan lampu belakang.

Bahagian atas pula dilengkapi pelana untuk penunggang sahaja, penutup tangki minyak dan bar hendal.

Ketinggian pelana cuma 802mm. Sistem suspensi pula terdiri daripada penyerap hentak jenis teleskopik di hadapan dan pegeas gegelung dengan silinder tunggal untuk roda belakang.

Fun bike tersebut menggunakan rim bersaiz 12 inci yang turut dipasang dengan sistem brek cakera tunggal.

Jentera yang hadir dengan warna terang itu menggunakan panel instrumen berbentuk bulat klasik. Panel itu didatangkan dengan pilihan tujuh warna lampu latar untuk menjadikannya kelihatan lebih moden.

Pheonix Engineering memberitahu Gunner 50 hanya seberat 75kg. Ia digerakkan oleh enjin empat lejang bersesaran 50cc yang mampu menjana kuasa sekitar 3.2hp dan tork 3Nm.

Kuasa kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear empat kelajuan.Enjin tersebut dipasang dalam kerangka jenis double-cradle berkembar.

Menurut media Jepun yang telah menunggang uji Gunner 50, mereka memberitahu jentera itu seronok ditunggang, lancar dan tiada gegaran berlebihan.

Walaupun tidak laju iaitu hanya boleh mencapai 50km/j, tetapi Gunner 50 menjanjikan pengalaman yang berbeza.

Pengguna boleh memilih antara enam warna menarik iaitu kuning, biru, merah, putih, hitam dan hijau.

GALERI

Google ads
Back to top button