Artikel Pilihan

KENAPA LAMPU KERETA JADI KUNING?????

Isu lampu depan menjadi kuning sebenarnya mungkin bukan satu masalah pada kebanyakan kereta lama kerana pada waktu itu lampu depan kereta dihasilkan daripada kaca. Mungkin pada waktu itu ia tidaklah seterang lampu kereta moden dengan cahaya yang dihasilkan adalah kuning malap.

Berbeza pula dengan keadaan hari ini dimana lampu utama kereta mudah bertukar menjadi kekuningan dalam masa beberapa tahun selepas keluar dari pusat jualan. Masalah utama dengan lensa atau perumah lampu yang bertukar menjadi kuning ialah cahaya yang dihasilkan mulai menjadi malap dan mengurangkan keupayaan untuk melihat ke arah depan

Lampu utama bagi kereta moden dilitupi oleh plastik lutsinar pada bahagian depan atau nama sebenarnya ialah polikarbonat. Ia lebih ringan, lebih mudah dihasilkan dan kosnya jauh lebih murah berbanding dengan lampu yang menggunakan pelitup kaca pada bahagian depan.

Namun masalah utama lampu kereta moden yang menggunakan polikarbonat ialah ia cepat bertukar menjadi kekuningan. Kami senaraikan beberapa sebab kenapa lampu ini bertukar menjadi warna kuning.

1. Pengoksidaan – walaupun dikategorikan sebagai tahan lasak, polikarbonat masih terdedah kepada proses pengoksidaan apabila terdedah kepada udara dan pancaran Ultra Violet daripada sinaran matahari yang terik terutama bagi negara yang berada di garisan Khatulistiwa

Lama kelamaan lapisan polikarbonat ini akan menghasilkan rekahan halus sedikit demi sedikt yang akhirnya menyebabkan bahagian depan menjadi kuning dan pudar dalam satu sela masa yang lama.

2. Kerosakan jalan raya – jalan raya dibina dengan menggunakan asfalt, batu kerikil dan diikat dengan menggunakan tar. Batu kerikil ini boleh menjadi projektil yang akan merempuh lampu kereta dan merosakkan lapisan polikarbonat, menyebabkan calar manakala tar pula menyebabkan kesan warna hitam pada lapisan

3. Gabungan habuk, kotoran dan bahan kimia dari persekitaran – sekiranya kereta tidak dibasuh dalam satu sela masa yang lama, lapisan habuk, minyak, kotoran dan bahan kimia akan terkumpula pada permukaan lampu kereta.

Lapisan ini akan kekal atau sukar untuk ditanggalkan jika kereta tidak dibasuh dalam satu tempoh yang lama. Malah air hujan juga mungkin mengandungi asid yang menghasilkan sebatian hujan asid dan melunturkan bahagian polikarbonat.

4. Wap air– jika anda perasan lampu moden yang menggunakan polikarbonat tidak dicantumkan dengan skru antara bahagian depan dan perumah lampu. Sebaliknya ia dicantumkan dalam satu proses yang dinamakan sebagai vibration welding.

Bahagian dalam lapisan polikarbonat dan lampu akan disembur dengan satu lapisan kimia anti wap air bagi menghalang pembentukan wap air. Namun selepas beberapa tahun, sambungan antara lapisan polikarbonat dan perumah akan terbuka, mengalami rekahan dan molekul air akan mencuri masuk

Lama kelamaan ia akan membentuk lapisan wap air atau kabus dalam lampu, bergabung dengan habuk dan pelbagai unsur yang menyebabkan kekuningan dan merosakkan komponen lain seperti reflektor.

Bagaimana nak mencegah isu kekuningan pada lampu berlaku?

Isu ini sebenarnya tidak boleh dicegah 100%, namun kesan kekuningan boleh dikurangkan jika anda mengamalkan penjagaan kereta yang baik. Pertama, basuh kereta secara berkala atau dengan kerap jika kereta anda mulai kotor.

Kedua, jika lampu utama mulai menjadi kuning, anda boleh mengilap dengan bantuan bahan kimia khas untuk mengilapkan lampu sahaja. Biasanya ia boleh digilap dengan bantuan kain microfibre dan dilakukan secara berkala bagi mengekalkan keadaan lampu depan

Ketiga, jika keadaan menjadi terlalu teruk maka anda perlukan bantuan pakar yang biasa mengilap lampu dengan menggunakan kertas pasir gred halus diikuti dengan semburan clear bagi menjadikan lampu depan kembali bersinar.

Serahkan tugas ini kepada pakar jika anda tidak biasa melakukannya. Elakkan membalut lampu anda dengan menggunakan filem penapis haba yang biasa dipasang pada cermin. Lampu akan menghasilkan haba, menyebabkan lapisan filem suria ini terbakar dan melekat pada permukaan lampu.

Terdapat beberapa saranan yang mencadangkan agar pemilik membalut lampu dengan dengan Paint Protection Film atau singkatannya PPF. Namun seperti biasa, haba daripada mentol akan menyebabkan lapisan PPF terbakar.

Google ads
Back to top button