SUPERCAR HIBRID CUMA MEMBUANG MASA – INI PENDAPAT HORACIO PAGANI
Ini bukan pendapat kami okey. Jangan pula ada yang kata baik kami tulis cerita pasal kereta dah la, jangan nak bagi pendapat yang bukan-bukan. Ini dinyatakan sendiri oleh Horacio Pagani dalam satu temubual bersama The Drive.
Dalam dunia di mana kebanyakan pengeluar sibuk mengeluarkan model baharu dengan enjin yang lebih kecil dan mengadaptasi teknologi elektrik, Pagani bertindak sebaliknya dengan pelancaran Utopia yang menggunakan enjin 6.0 liter V12 turbo berkembar yang bebas dari bantuan hibrid. Kenapa? Sebab pelanggan mereka mahu macam tu dik.
Selain Gordon Murray T.50 dan Koenigsegg Jesko, kebanyakan hypercar lain yang setanding dengan Utopia sudahpun berhijrah ke perkampungan hibrid. Ini termasuklah Aston Martin Valkyrie dan Bugatti Tourbillon. Keduanya menggunakan enjin NA kapasiti besar dan digabungkan dengan motor-motor elektrik.
Ada yang berpendapat ia satu tindakan yang bijak bagi meningkatkan prestasi dan kecekapan namun bagi Pagani ia cuma mengundang masalah.
Dengan beraninya Pagani mendakwa secara realitinya tiada siapa pun berminat dengan kereta hibrid. Beliau sendiri mempunyai koleksi kereta hibrid seperti Porsche 918 dan beberapa buah model lain. Tapi jika beliau teringin untuk memandu Porsche, model yang menjadi pilihan beliau ialah 911R dan Carrera GT. Eh, sama pula dengan Abang Japar.
Jika ditanya secara jujur, ramai yang percaya hibrid ialah sesuatu yang luar biasa kerana ia mempunyai kesemua masalah yang dimiliki oleh kereta elektrik dan pada masa yang sama juga memiliki kesemua masalah kereta ICE. Itu tak campur kos penyelenggaraan berkala biasa.
Pagani pernah mempunyai perancangan untuk menghasilkan enjin hibrid dan EV satu ketika dahulu tapi merasakan masanya masih belum sesuai. Malah saiz syarikat mereka yang kecil tidak memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghasilkan kenderaan yang tidak diminati pelanggan. Rugi ooo kalau buat tapi tak ada orang nak beli.
Mereka pernah menimbangkan penggunaan enjin V8 hibrid tapi ia terlalu berat dengan penambahan berat sekitar 400 ke 500 kilogram dan pelanggan mereka tidak meminatinya.
Mereka mesti menghasilkan produk yang dimahukan pelanggan dan bukan hanya syok sendiri.
Pagani tidak terburu-buru untuk menggantikan enjin V12 mereka. Malah enjin 6.0 liter turbo berkembar Utopia telah dihomologasikan supaya bertahan sehingga 2031. Ya, masih banyak masa untuk kita jual tanah-tanah sawah dan kebun kat kampung untuk beli sebuah Pagani.