
KENYATAAN KETUA POLIS TIMUR LAUT BERIKUTAN KES KEMALANGAN DI JALAN SRI TANJUNG PINANG
Pada 17 Januari 2021, telah tular satu kejadian kemalangan motosikal yang dinaiki oleh 2 lelaki melayu di persimpangan lampu isyarat TESCO Tanjong Tokong. Ekoran dari kejadian yang ditularkan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari orang ramai termasuk menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal mangsa sehingga mangsa mengalami kemalangan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut telah menerima laporan polis berkaitan insiden kemalangan tersebut yang dibuat oleh seorang pemandu kereta. Hasil siasatan PDRM mendapati insiden ini bermula apabila 3 anggota Unit Rondaan Bermotor IPD Timur Laut semasa meronda di Jalan Sri Tanjung Pinang telah terserempak dengan 2 lelaki melayu menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar.
Pihak polis telah mengarahkan mereka berhenti namun ingkar malah melarikan diri. Anggota URB telah mengejar dan apabila sampai di lampu isyarat berhampiran TESCO motosikal yang dinaiki oleh kedua-dua lelaki tidak berhenti di lampu isyarat merah dan akibatnya telah berlanggar dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah Georgetown menuju ke Tanjung Bungah.
Akibat dari perlanggaran tersebut kedua-dua penunggang dan pembonceng telah terjatuh dan mengalami kecederaan manakala kereta lelaki tersebut mengalami kerosakan kemek bonet hadapan kanan dan pecah bahagian lampu serta bampar depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang anggota polis URB sejurus selepas kejadian disebabkan lebih kurang 30 orang awam telah datang ke lokasi kejadian dan segelintir orang awam menuduh anggota URB sengaja menendang motosikal sehingga kemalangan. Terdapat provokasi yang dibuat terhadap anggota URB dengan menolak, mengajak bergaduh dan mengeluarkan kata-kata ugutan

Adegan provokasi telah ditularkan dalam media sosial terutama Facebook dalam bentuk rakaman video sehingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen. Laporan yang dibuat oleh anggota URB telah disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 506 iaitu kesalahan ugutan jenayah. Siasatan juga dibuat di bawah Peraturan 16 Perintah Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 bagi kesalahan melanggar SOP.
Bertindak atas maklumat, pada 18 Januari sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut mengesan individu-individu yang dikenalpasti dalam rakaman video yang tular tersebut dan setakat ini tangkapan telah dibuat terhadap 7 lelaki berumur antara 23-45 di sekitar Jalan Patani dan Tanjung Tokong. 2 saspek memiliki 5 dan 3 rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah
Hasil ujian saringan air kencing mendapati 2 saspek positif dadah jenis ganja. Kesemua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pada 19 Januari untuk permohonan reman. Siasatan lanjut kes ini akan diteruskan termasuk tangkapan melakukan tangkapan susulan terhadap saspek-saspek lain yang dikenalpasti.
Lanjutan kes ini juga pihak IPD Timur Laut turut menjalankan siasatan tehadap hantaran hantaran di media sosial Facebook dan Whatsapp didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej PDRM yang akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
Orang ramai yang ada maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Fahmi Othman di talian 0179272027 bagi membantu siasatan
Sumber berita dan gambar -PDRM IPD Timur Laut, Pulau Pinang