Buletin

TOYOTA GR YARIS EDISI EKSKLUSIF DILANCARKAN – TERHAD 100 UNIT, PEMBELI DIPILIH MENERUSI LOTERI

Toyota kembali mencuri perhatian peminat hot hatch apabila membuka permohonan untuk dua edisi paling eksklusif GR Yaris di Jepun, iaitu GR Yaris Morizo RR dan GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition.

Kedua-dua model istimewa itu dihadkan kepada hanya 100 unit setiap satu dan pembeli tidak boleh sekadar pergi ke bilik pameran untuk membuat tempahan. Sebaliknya, mereka perlu melalui sistem cabutan bertuah khas menerusi aplikasi telefon pintar GR milik Toyota.

Permohonan dibuka bermula 27 Mei hingga 9 Jun, manakala senarai 200 pemilik bertuah akan diumumkan pada 1 Julai sebelum penghantaran pertama bermula awal Ogos nanti.

Dari segi harga, GR Yaris Morizo RR ditawarkan pada sekitar ¥9 juta (kira-kira RM266,000), manakala versi Sébastien Ogier 9x World Champion Edition pula berharga ¥8.45 juta (sekitar RM250,000). Nilai itu jauh lebih mahal berbanding GR Yaris standard di Jepun.

Toyota turut menawarkan model miniatur skala 1/43 bagi kedua-dua varian tersebut untuk peminat yang gagal memenangi cabutan.

Kedua-dua edisi khas ini pertama kali diperkenalkan ketika Tokyo Auto Salon 2026 dan dianggap sebagai versi paling ekstrem untuk GR Yaris sebelum model tersebut menamatkan kitaran hayatnya.

GR Yaris Morizo RR dibangunkan mengikut citarasa Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, berdasarkan pengalaman beliau memandu di perlumbaan 24 jam Nürburgring.

Model itu menerima talaan suspensi dan stereng khas, selain mod “Morizo Mode” yang mengunci sistem pacuan semua roda kepada agihan kuasa 50:50.

Penampilannya juga lebih agresif menerusi kit badan gentian karbon lengkap dengan splitter besar, bonet berliang udara, skirt sisi lebih tajam serta spoiler belakang boleh laras. Ia dipadankan dengan warna eksklusif Gravel Khaki bersama rim forged BBS 18-inci.

Sementara itu, versi Sébastien Ogier 9x World Champion Edition pula diinspirasikan daripada legenda rali Perancis berkenaan.

Model ini hadir dengan “Seb Mode” yang memberikan agihan kuasa 40:60 ke bahagian belakang untuk karakter pemanduan lebih lincah.

Ia menggunakan warna khas Gravity Black bersama rim BBS hitam matte, angkup brek biru dan sentuhan grafik Gazoo Racing serta elemen triwarna bendera Perancis.

Di bahagian kabin, Toyota menampilkan jahitan tiga warna, brek tangan mekanikal menegak gaya rali dan plak khas bernombor bersama tandatangan Sébastien Ogier.

Kedua-dua model dikuasakan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 300hp dan 400Nm tork.

Morizo RR menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan, manakala edisi Ogier mengekalkan transmisi manual enam kelajuan untuk pengalaman pemanduan lebih tradisional.

Ini bukan kali pertama Toyota menghasilkan GR Yaris edisi terhad berinspirasikan dunia sukan permotoran.

Sebelum ini, jenama Jepun itu pernah memperkenalkan edisi khas Sébastien Ogier dan Kalle Rovanpera pada 2024 dengan pengeluaran terhad yang turut mendapat sambutan hangat.

Google ads
Back to top button