Buletin

MALAYSIA BIKE SHOW 2026: HONDA ADV 160 2026 RASMI DILANCARKAN – HARGA MULA RM13,249

Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan Honda ADV 160 2026 untuk pasaran Malaysia.

Honda ADV 160 2026 hadir dengan dua varian serta empat pilihan warna yang tampil lebih segar dan moden.

Bagi varian ADV160 Honda RoadSync, ia hadir dalam pilihan warna Brown dan Matte Gray dengan harga bermula RM13,649.

Sementara itu, varian ADV160 ABS pula ditawarkan dalam warna Gray dan White pada harga RM13,249.

Kedua-dua model menggunakan enjin 157cc Enhanced Smart Power+ (eSP+) yang mampu menghasilkan kuasa 11.8kW pada 8,500rpm serta tork 14.7Nm pada 6,500rpm.

Enjin tersebut turut menerima pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) selain memperoleh penarafan keselamatan 5-bintang MyMAP.

Dari segi kelengkapan, Honda ADV 160 hadir dengan pelbagai ciri moden termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem brek ABS, penghadang angin boleh laras, lampu LED penuh, Sistem Kunci Pintar Honda serta port pengecas USB Type-C.

Skuter bergaya adventure itu turut menawarkan ruang simpanan bawah pelana sebesar 30 liter selain menggunakan suspensi belakang Showa dengan tabung untuk tunggangan lebih selesa.

Menerusi tangki bahan api berkapasiti 8.1 liter, ia mampu memberikan jarak perjalanan sekitar 350 kilometer bagi sekali isian penuh.

Untuk varian ADV160 Honda RoadSync, ia dibezakan dengan penggunaan paparan meter TFT bersaiz 5.5-inci yang boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi Honda RoadSync. Fungsi tersebut membolehkan penunggang mengakses navigasi, muzik, panggilan telefon dan mesej dengan lebih mudah ketika menunggang.

Honda ADV 160 2026 akan mula berada di semua pusat jualan Honda Impian X dan pengedar sah seluruh negara bermula 11 Jun ini.

Pembeli turut menerima waranti pengilang selama dua tahun atau 20,000km mengikut mana yang tiba dahulu.

GALERI:

Google ads
Back to top button