Buletin

MBS2026: ARIIC TOUCH 250 DILANCARKAN – HARGA MULA RM13K

Jenama motosikal ARIIC secara rasmi memperkenalkan skuter terbaharunya, ARIIC Touch di Malaysia Bike Show 2026. Skuter itu hadir dengan pelbagai ciri moden dan ditawarkan pada harga RM13,688.

Dari segi penampilan, ARIIC Touch tampil dengan rekaan skuter urban touring yang sporty dan moden, lengkap dengan sistem lampu LED penuh serta badan aerodinamik.

Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu;

  • Matt Black
  • Urban Green
  • Phantom Grey

Model ini menggunakan enjin satu silinder 249cc, empat lejang dengan sistem penyejukan cecair. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 16.5kW pada 8,000rpm dan tork 23.5Nm pada 5,000rpm, dipadankan bersama transmisi automatik CVT menggunakan pacuan tali sawat.

Bagi aspek tunggangan, ARIIC Touch dilengkapi fork teleskopik di bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem membrek pula menggunakan cakera tunggal depan dan belakang bersama ABS dua saluran sebagai ciri standard.

Antara kelengkapan lain termasuklah paparan meter TFT digital, sistem keyless, port pengecas USB Type-A dan Type-C serta sistem kawalan cengkaman (TCS).

Lebih menarik, skuter ini turut didatangkan dengan dashcam hadapan terbina dalam, sesuatu yang masih jarang ditawarkan dalam segmen skuter 250cc.

Dari sudut praktikaliti, ARIIC Touch menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas bersama kapasiti tangki bahan api 13 liter untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Dengan ketinggian tempat duduk 760mm dan berat sekitar 147kg, model ini dilihat sesuai untuk pelbagai jenis penunggang termasuk pengguna bandar yang mahukan skuter selesa serta mudah dikendalikan.

Kehadiran ARIIC Touch di Malaysia Bike Show 2026 sekali gus menambah lagi persaingan dalam segmen skuter 250cc tempatan yang kini semakin meriah dengan kemunculan pelbagai jenama baharu.

GALERI:

Google ads
Back to top button