Buletin

MG 4X DILANCARKAN DI CHINA – JARAK GERAK HINGGA 610KM, HARGA MULA RM54K

SAIC Motor secara rasmi memperkenalkan SUV elektrik kompak terbaharu mereka, MG 4X, untuk pasaran China dengan harga permulaan serendah 92,800 yuan (sekitar RM54,455) menerusi tawaran promosi khas.

Model berasaskan platform elektrik “Nebula” itu hadir dengan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) bersama suspensi belakang bebas lima-link, sekali gus memberi fokus kepada keseimbangan antara prestasi pemanduan dan teknologi pintar moden.

MG 4X ditawarkan dalam empat varian dengan harga rasmi antara 99,800 yuan hingga 116,800 yuan (sekitar RM54,000 hingga RM75,000). Namun, pembeli awal boleh menikmati harga lebih rendah bermula kira-kira RM54,455.

Dari segi rekaan, SUV ini meneruskan identiti keluarga MG4 menerusi gril hadapan tertutup, lampu nyalaan siang LED melintang serta logo bercahaya di bahagian depan.

Dimensinya berukuran 4,500mm panjang, 1,849mm lebar dan 1,621mm tinggi, manakala jarak roda mencapai 2,735mm.

Bahagian kabin pula tampil lebih premium dengan susun atur ‘wrap-around’ moden. Ia dilengkapi panel instrumen digital 10.25-inci dan skrin infotainmen terapung bersaiz 15.6-inci.

Sistem infotainmen tersebut turut disepadukan dengan model bahasa besar (LLM) Doubao yang menyokong kawalan suara empat zon serta sambungan telefon pintar seperti Apple CarPlay, HiCar, Carlink dan ekosistem pintar Oppo.

Untuk prestasi, MG 4X hadir dengan dua pilihan motor elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum 168hp dan 201hp.

Ia menggunakan sama ada bateri lithium-ion berasaskan mangan berkapasiti 53.9kWh atau bateri lithium iron phosphate (LFP) 64.2kWh keluaran CATL.

Bergantung kepada varian, SUV ini mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 510km atau 610km mengikut standard CLTC.

Ciri bantuan pemanduan pintar juga dibezakan kepada dua tahap.

Varian Free Edition menggunakan cip Horizon Robotics Journey J3 bersama lima kamera dan lapan radar ultrasonik untuk fungsi bantuan pemanduan tahap L2.

Sementara itu, varian Smart Edition menerima cip Horizon Robotics Journey J6E yang lebih canggih dengan 21 sensor pintar termasuk kamera, radar ultrasonik dan radar gelombang milimeter.

Ia menyokong fungsi L2+ seperti bantuan pemanduan lebuh raya dan parkir pintar pelbagai situasi.

Google ads
Back to top button